Ahad, 29 Jun 2014

Nisfu Syaaban 12 Jun, rukyah Ramadan 27 Jun

(Siaran Akhbar)

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 Jun. - Mahkamah Syariah Negara Brunei Darussalam dengan ini mengumumkan kepada orang ramai terutama umat Islam di Negara Brunei Darussalam bahawa pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 1 haribulan Syaaban 1435 Hijriah adalah jatuh pada hari Jumaat, 30 Mei 2014 Masihi.

Maka berikut dengan itu, Nisfu Syaaban bagi Tahun 1435H jatuh pada petang hari Khamis, malam Jumaat, 12 Jun 2014 Masihi.

Berikut dengan itu juga, ketetapan bagi merukyah anak bulan Ramadan 1435H akan dilakukan pada petang hari Jumaat, 29 Syaaban 1435H bersamaan 27 Jun 2014M di tempat-tempat berikut:- Menara DST, bangunan Ibu Pejabat DST, Lebuhraya Tungku; Bukit Agok, Jerudong di Daerah Brunei dan Muara; Bukit Ambuk di Daerah Tutong dan Bukit Lumut di Daerah Belait.

- Pelita Brunei Online. Sabtu, 7 Jun 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan