Ahad, 31 Januari 2021

Fenomena meteor besar hasilkan dentuman kuat

 

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 1 Februari. - Bunyi dentuman yang disangka guruh diiringi dengan gegaran yang terjadi kira-kira sekitar jam 11.00 pagi kelmarin sedikit sebanyak menimbulkan kepanikan dan menjadi persoalan kepada sebahagian penduduk di negara ini yang mengalami kejadian tersebut.

 

Jika terjadinya guruh dan kilat tetapi cuaca kelmarin begitu elok sahaja, sehingga ada beberapa persepsi yang mengaitkannya dengan beberapa insiden dari luar negara yang memberi impak kepada negara kita.

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) menerusi laman sesawangnya di 'www.bruneiastronomy.org', satu meteor besar (fireball) mencetuskan letupan yang disaksikan pada siang hari kelmarin, 31 Januari 2021.

 

Sehubungan itu, PABD menerima banyak laporan daripada orang ramai yang mendengar letupan kuat di awan dan mengumpulkan laporan saksi yang menyaksikan kejadian tersebut.

 

Sebahagian penduduk yang menyaksikan fenomena menakjubkan itu hingga menghasilkan bunyi dentuman yang menimbulkan 'shockwave' yang besar dari meteor yang terbakar di ruang angkasa di negara ini.

 

Salah seorang saksi, Abdul Wafiy bin Haji Rudzi berkata, beliau dan rakan-rakan yang lain pada ketika itu ada berkumpul dalam Jimny Community dari Kampung Tanjong Nangka yang hendak ke Kulapis, lalu berhenti sebentar untuk mengambil gambar sekitar kawasan itu.

 

Selang beberapa minit kemudian, beliau menyaksikan sesuatu yang aneh di awan dan memberitahu kepada rakan-rakannya yang lain dan beranggapan itu adalah permainan bunga api kerana benda itu mengeluarkan cahaya yang terang berwarna merah dan hijau diliputi asap, kemudian mengeluarkan bunyi letupan selepas beberapa saat.

 

Selepas itu, mereka pun masih bertanya-tanya mengenai kejadian itu.

 

Meskipun 'drone' mereka tidak sempat merakam, tetapi kamera 'dashcam' keretanya dapat merakamkan detik itu.

 

Meteor adalah fenomena alam yang rawak dan sukar diramal. Selalunya meteor terhasil apabila batuan angkasa yang dipanggil meteoroid terbakar di ruang angkasa. Namun jika meteoroid yang lebih besar tidak habis terbakar dalam perjalanannya di atmosfera dan mencapai permukaan bumi, objek yang dihasilkan adalah dipanggil meteorit.

 

Pelita brunei online (01/02/2021)

Khamis, 28 Januari 2021

Fenomena Istiwa Bulan: Kedudukan bulan purnama tepat di atas Kaabah

 Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Awang Hazarry Haji Ali Ahmad.




BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 29 Januari. - Umat Islam di Negara Brunei Darussalam boleh membuat semakan dan mengesahkan arah kiblat berpandukan bulan dengan terjadinya Fenomena Istiwa Bulan.

 

Fenomena Istiwa Bulan ialah kedudukan bulan purnama berada tepat di atas Kaabah di Masjidil Haram.

 

Pelita Brunei sempat menemu bual Setiausaha Agung Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD), Awang Hazarry bin Haji Ali Ahmad yang menerangkan bahawa kejadian tersebut terjadi sekitar jam 12.43 tengah malam waktu di Arab Saudi dan jam 5.43 pagi waktu tempatan.

 

Awang Hazarry menjelaskan, Istiwa bermaksud kedudukan objek Semawi 90 darjah atau Zenith dan kedudukan Azimuth bulan ialah 291 darjah bertepatan dengan nilai sudut kiblat.

 

Berikutan peristiwa berkenaan, katanya, ia adalah bulan purnama yang pertama bagi tahun ini dan fenomena berkenaan diramal akan terjadi lagi pada tahun 2038 nanti.

 

Dalam menentukan arah kiblat, pada kebiasaannya akan menggunakan alat kompas. Namun selain kaedah Istiwa bulan purnama di Mekah, ada juga kaedah lain berdasarkan ilmu falak, antaranya menggunakan Buruj Bintang, iaitu menjadikan Buruj Orion (Al-Babadur) sebagai panduan arah kiblat.

 

Selain itu, penentuan arah kiblat ketika matahari di atas Kaabah (Istiwa Adzam) sebanyak dua kali setahun, iaitu setiap 28 Mei, jam 5.16 petang dan juga 16 Julai, jam 5.28 petang waktu tempatan.


- Pelita Brunei Online - Isnin, 29 Januari 2021.