Jumaat, 19 November 2021

GERHANA BULAN SEPARA

 

Pada 19 November ini akan berlaku gerhana bulan paling lama dalam abad ini. Gerhana bulan itu akan berlaku selama tiga jam dan 28 minit. Kebiasaannya, gerhana akan berlangsung kurang dari dua jam. Antara 2001 hingga 2100, sebanyak 288 fenomena gerhana bulan dijangka berlaku.

Dalam khutbah gerhana yang dibacakan oleh Baginda saw, Baginda pernah mengingatkan kita tentang peringatan-Nya di sebalik peristiwa ini.

"Wahai umat Muhammad! Demi Allah! Sekiranya kalian mengetahui apa yang aku ketahui, sudah pasti kalian akan sedikit ketawa dan banyak menangis."

Rasulullah saw gementar dan luruh hatinya ketika melihat kejadian gerhana. Baginda saw menjadi begitu cemas kerana takut sekiranya Allah menurunkan bala atau mengisyaratkan akan berlakunya kiamat berikutan gerhana tersebut.

Kebimbangan Nabi saw ini menyebabkan Baginda memanjangkan doanya dan mencucurkan air mata, lebih-lebih lagi memikirkan nasib umatnya. Rasulullah saw mengerjakan solat hinggakan seolah-olah Baginda SAW tidak akan rukuk (kerana terlalu lama berdiri).

Kemudian Baginda saw rukuk, seolah-olah Baginda saw tidak akan mengangkat kepalanya. Kemudian Baginda saw mengangkat kepalanya, seolah-olah Baginda saw tidak akan sujud. Kemudian Baginda saw sujud, seolah-olah Baginda saw tidak akan mengangkat kepalanya dari sujud).

Kemudian Baginda saw menghembuskan nafasnya dan menangis seraya berdoa:

"Wahai Tuhanku! Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku, bahawa Engkau tidak akan mengazab mereka selagi aku berada bersama mereka.

Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku bahawa Engkau tidak akan menyiksa mereka, selagi mereka memohon keampunan, sedangkan kami memohon keampunan kepada-Mu".

Bila berlaku gerhana, ia bukanlah satu pesta untuk diraikan. Sebaliknya ia adalah tanda betapa hampirnya kita dengan kiamat.

(Sumber teks: Whatsapp - Anonymous)