Jumaat, 1 Ogos 2014

Pencerapan Hilal Syawal di Bukit Lumut

Oleh: Dk Hjh Saidah bte Pg Haji Omaralli

KUALA BELAIT, Ahad, 27 Julai. - Juru Ukur, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, Muhd Hifney bin Haji Abd Rahman memberitahu anak bulan (Hilal) syawal 1435H sukar dilihat berdasarkan dari kiraan umur hilal saat terbenam matahari, 11 jam 57 minit.

“Rekod di Negara Brunei Darussalam, hilal yang pernah nampak, ketika kiraan umur hilal 19 jam. Jika umur hilal kecil, bentuk hilal juga kecil dan sukar untuk dilihat,” ungkap beliau.

Muhd Hifney menambah waktu terbenam matahari di Daerah Belait pada jam 6.48 petang dan waktu melihat hilal cuma lebih kurang 10 minit dari waktu tersebut. Menurut beliau kedudukan Hilal Syawal 1435H saat matahari terbenam 01˚ 59’56” dan jarak lengkung 06 49͗ 59”.

Muhd Hifney menyatakan demikian semasa merukyah (melihat Hilal Syawal 1435H) di Bukit Lumut, di sini.
 
DKS1PEGAWAI Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman ketika merukyah hilal Syawal 1435H.
(Foto : Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli)

Umur hilal merupakan parameter yang biasa dijadikan dasar dalam kriteria-kriteria kenampakan anak bulan. Lebih-lebih lagi nilai umur hilal mudah diperolehi. Dalam beberapa kajian kuantiti umur bulan boleh dijadikan sebagai jangkaan kasar dalam kenampakan terawal. Illyas (1994) menpersetujui bahawa had minimum umur bulan untuk nampak ialah 16 jam dan ia konsisten dengan kebanyakan rekod cerapan.

Hilal dikatakan wujud apabila telah berlaku ijtimak sebelum matahari terbenam dan bulan berada di atas ufuk selepas matahari terbenam.

Pada kelaziman di Negara Brunei Darussalam ketetapan penentuan Puasa dan Hari Raya berdasarkan kepada hasil penglihatan hilal yang berlandaskan hukum syarak.

Hadir merukyah Hilal Syawal 1435H termasuk Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman, Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin, Ketua Kampung Mumong dan Pengarah Urusan Syarikat BLNG, Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin. 
 
DKS2-2PEGAWAI Daerah Belait bersama mereka yang hadir sama-sama membaca wirid dan zikir.
(Foto : Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli)

Juga hadir pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan terdiri daripada Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Belait, Haji Kaharuddin bin Mohd Ali,  Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Polis Diraja Brunei, Angkatan Tentera Darat Diraja Brunei Batalion Ketiga dan pegawai-pegawai BLNG.

Sebelum penglihatan hilal syawal, acara terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan wirid dan zikir diketuai oleh Pegawal Hal Ehwal Masjid, Daerah Belait, Ustaz Haji Haslan bin Haji Shahbuddin.

Acara diteruskan dengan taklimat ringkas berkaitan dengan kedudukan Hilal Syawal 1435H disampaikan oleh Muhd Hifney dan diikuti selepas itu pencerapan serta disusuli dengan Iftar dan Solat Maghrib Berjemaah.

- Pelita Brunei Online. Selasa, 29 Julai 2014.

Penglihatan anak bulan Syawal 1435H pada 27 Julai 2014M

Oleh: Siaran Akhbar

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 21 Julai. - Jabatan Mahkamah Rayuan Syariah memaklumkan bahawa penglihatan anak bulan Syawal tahun 1435 Hijriah akan dilakukan di seluruh negara pada petang hari Ahad, 29 Ramadan 1435H bersamaan 27 Julai 2014 Masihi.

Hakim-Hakim Syar'ie dan pegawai-pegawai Mahkamah-Mahkamah Syairah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan Jabatan Mufti Kerajaan akan berada di tempat-tempat yang ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Syawal 1435H) di Menara DST, Bangunan Ibu Pejabat DST, Lebuhraya Tungku; Bukit Agok, Jerudong Daerah Brunei dan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait dan Bukit Ambok, Daerah Tutong.

Berikutan itu, pengumuman satu Syawal (awal Syawal bagi tahun 1435H/2014M) akan disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei sebaik sahaja rukyah pada petang 29 Ramadan 1435H/27 Julai 2014M itu diperoleh pihak berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta memberikan kerjasama supaya tidak mendekati tempat-tempat tersebut.