Ahad, 7 Februari 2021

PABD kaji ledakan meteor didakwa ‘bolide’

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam

 


 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 7 Februari. - Berikutan kejadian bebola api misteri diiringi letupan kuat yang dilaporkan jatuh ke bumi pada 31 Januari baru-baru ini, sekumpulan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) masih menjalankan penyiasatan dan pemerhatian lanjut di lokasi-lokasi berdasarkan video dan gambar meteor yang dilaporkan.

 

Selain berkerjasama dengan Sabah Stargazers, PABD juga mendapatkan maklumat mengenai koordinat di langit meteor yang dikongsikan oleh kumpulan Jimmy Sieera Brunei semasa kejadian itu berlaku.

 

Menurut pihak PABD, pada masa ini, terdapat dua sumber utama bukti berdasarkan dua rakaman 'dashcam' secara kebetulan merakam kejadian meteor pada masa yang sama dari Kampung Kulapis dan juga dari negara jiran di Penampang, Sabah.

 

Maklumat tersebut menjadi bukti yang kukuh untuk menentukan ciri-ciri fizikal meteor tersebut dan lokasinya, yang kemudiannya didukung dengan statistik daripada saksi lain.

 

Semasa kejadian, kecerahan bola api sukar dianggarkan berikutan cahaya matahari yang terang. Namun kecerahan bola api biasanya diukur dari magnitud-5 (bersamaan dengan planet Zuhrah) sehingga magnitud-10 (cahaya yang dihasilkan oleh bulan suku 'illuminated').

 

Berdasarkan rakaman video oleh Awang Abd. Wafiy bin Haji Rudzi, cahaya dari bebola api dianggarkan berada pada magnitud-13 yang bersamaan dengan cahaya yang dihasilkan oleh bulan penuh. Justeru ini menjadikan peristiwa tersebut sangat jarang berlaku dan sangat istimewa.

 

Kebanyakan meteor pada lazimnya bersaiz diameter 1 milimeter atau kira-kira sebutir pasir akan mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kilauan cahaya di langit. Tetapi bebola api yang terlihat jelas semasa kejadian tersebut adalah berganda saiznya, iaitu objek bersaiz sebiji bola besbol hingga sesuatu yang besar seperti sebuah kereta kecil.

 

Analisis awal PABD menentukan anggaran lokasi letupan meteor yang berlaku di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira 30 kilometer dari Bandar Seri Begawan, berhampiran Teluk Brunei dan Barat Daya Pulau Labuan. Berdasarkan sudut ketinggian, kedudukan bola api apabila letupan sengit berlaku dianggar kira-kira 35 kilometer tinggi di atas tanah.

 

Apabila meteor yang bergerak menembusi atmosfera bumi pada kelajuan yang luar biasa, dengan ketinggian di bawah 60 kilometer dan meletup sebagai 'bolide', terdapat peluang yang tinggi bagi meteor tersebut mencetuskan ledakan bunyi yang kuat (sonic boom) yang boleh didengar oleh penduduk bumi.

 

Instrumen Pemetaan Kilat Geostationary (GLM) NASA berdasarkan satelit cuaca GOES telah mengesan bebola api yang bergerak pada hala laju 14 km/s, iaitu kira-kira 40 kali kelajuan bunyi dengan impak tenaga radiasi di atmosfera bersamaan 720 tan TNT di atas Negara Brunei Darussalam.

 

Maklumat ini telah dilaporkan oleh Pusat Near-Earth Object Studies, Jet Propulsion Laboratory, California Institute of Technology dalam laman sesawangnya.

 

Dalam hal ini, Pertubuhan Meteor Antarabangsa (IMO) juga mengesahkan dan mengkatalogkan insiden minggu lalu sebagai Acara 632-2021 di laman sesawang mereka.

 

Selain ledakan bunyi yang didengar oleh ratusan netizen melalui media sosial, terdapat 11 laporan yang disahkan mengenai peristiwa tersebut seperti daripada Daerah Belait, Daerah Brunei dan Muara dan Sabah pada Ahad, 31 Januari 2021 sekitar 03:02 UT atau 11.02 pagi waktu tempatan.

 

Walau bagaimanapun, status trajektori dan impak meteor masih belum dikesan kerana data yang belum mencukupi.

 

IMO menganalisis maklumat meteor yang disediakan oleh saksi dalam talian yang boleh digabungkan dengan saksi lain untuk memberikan anggaran yang baik mengenai trajektori bebola api, bagi membantu menentukan sama ada berlakunya kejatuhan tanah dan jua berkemungkinan berlakunya meteorit.

 

Sejak tahun 2005, IMO menerima kira-kira 224,000 laporan bola api dari seluruh dunia, atau purata 15,000 laporan setiap tahun. Tidak banyak laporan mengenai bebola api yang berkaitan dengan meteorit dilaporkan.

 

PABD akan terus mengongsikan sebarang data ataupun maklumat daripada kajian tersebut kepada komuniti saintifik antarabangsa mahupun serantau untuk menjalankan penyelidikan lanjut mengenai meteor berkenaan.

 

Pelita Brunei Online 08/02/2021