Khamis, 18 Julai 2019

Solat sunat gerhana bulan


Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Fenomena gerhana bulan separa telah sabit berlaku di Negara Brunei Darussalam bermula jam 4:01 pagi hingga 6:19 pagi hari ini.
Sehubungan itu, seluruh masjid, surau dan balai ibadat di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan sembahyang sunat gerhana bulan dengan tumpuan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Sembahyang sunat gerhana bulan ditunaikan sebaik-baik sahaja selesai menunaikan sembahyang fardu Subuh berjemaah.
Turut hadir pada acara di Masjid Omar Ali Saifuddien ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; para pengarah, pegawai kanan dan kakitangan dari KHEU serta penduduk yang tinggal di sekitarnya.
Sembahyang sunat gerhana bulan berjemaah di masjid berkenaan telah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Manakala itu, menjadi khatib pula ialah Penguasa Masjid Omar Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat dan ma’asir ialah Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.
Gerhana merupakan suatu kejadian memperlihatkan keagungan dan kebesaran Allah SWT yang berlaku pada matahari dan bulan sebagai tanda atau bukti kekuasaanNya sepertimana terjadinya siang dan malam.
Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam supaya melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar apabila berlakunya gerhana.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir bersama-sama mendirikan sembahyang sunat gerhana bulan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Media Permata Online - 18 Julai 2019