Khamis, 9 Jun 2016

Brunei mula berpuasa 7 Jun

Oleh:  Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 5 Jun. - Umat Islam di negara ini akan memulakan ibadah puasa Ramadan pada hari Selasa, 7 Jun ini nanti berikutan hasil merukyah anak bulan Ramadan tidak sabit kelihatan di beberapa tempat yang ditentukan lewat petang semalam.

Lokasi bagi merukyah anak bulan Ramadan yang telah ditentukan pada tahun ini ialah Menara DST, Bangunan DST Headquarters, Lebuhraya Tungku dan di Bukit Agok, Jerudong bagi Daerah Brunei dan Muara sementara Bukit Ambok di Daerah Tutong dan Bukit Lumut di Daerah Belait.

Sementara bagi menunggu hasil merukyah awal bulan Ramadan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan Majlis Keugamaan berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Baru, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis di sini.

Hadir bagi menyerikan majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Juga hadir ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz; Ketua Hakim Syar'ie, Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Pehin-Pehin Manteri Agama, jemputan-jemputan khas, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan.

Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh penuntut-penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah, Awang Mohammad Rohaidi bin Haji Johadi dan Awang Abdul Hafiz bin Haji Abdul Kadiroshman diikuti dengan Tahlil dan Doa Arwah serta bacaan Doa Selamat.


Majlis diteruskan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang telah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid di Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Hanafi bin Haji Zaini.

Hasil merukyah awal bulan Ramadan diumumkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei (RTB).

Berikutan anak bulan Ramadan tidak sabit kelihatan maka bulan Syaaban digenapkan menjadi 30 hari dan sehubungan itu juga solat Terawih dan Witir serta bertadarus Al-Quran juga mula bergema di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.

- Pelita Brunei Online. Hari Isnin, 30 Sya'baan 1437H / 06 Jun 2016M.