Khamis, 28 Januari 2021

Fenomena Istiwa Bulan: Kedudukan bulan purnama tepat di atas Kaabah

 Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Awang Hazarry Haji Ali Ahmad.




BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 29 Januari. - Umat Islam di Negara Brunei Darussalam boleh membuat semakan dan mengesahkan arah kiblat berpandukan bulan dengan terjadinya Fenomena Istiwa Bulan.

 

Fenomena Istiwa Bulan ialah kedudukan bulan purnama berada tepat di atas Kaabah di Masjidil Haram.

 

Pelita Brunei sempat menemu bual Setiausaha Agung Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD), Awang Hazarry bin Haji Ali Ahmad yang menerangkan bahawa kejadian tersebut terjadi sekitar jam 12.43 tengah malam waktu di Arab Saudi dan jam 5.43 pagi waktu tempatan.

 

Awang Hazarry menjelaskan, Istiwa bermaksud kedudukan objek Semawi 90 darjah atau Zenith dan kedudukan Azimuth bulan ialah 291 darjah bertepatan dengan nilai sudut kiblat.

 

Berikutan peristiwa berkenaan, katanya, ia adalah bulan purnama yang pertama bagi tahun ini dan fenomena berkenaan diramal akan terjadi lagi pada tahun 2038 nanti.

 

Dalam menentukan arah kiblat, pada kebiasaannya akan menggunakan alat kompas. Namun selain kaedah Istiwa bulan purnama di Mekah, ada juga kaedah lain berdasarkan ilmu falak, antaranya menggunakan Buruj Bintang, iaitu menjadikan Buruj Orion (Al-Babadur) sebagai panduan arah kiblat.

 

Selain itu, penentuan arah kiblat ketika matahari di atas Kaabah (Istiwa Adzam) sebanyak dua kali setahun, iaitu setiap 28 Mei, jam 5.16 petang dan juga 16 Julai, jam 5.28 petang waktu tempatan.


- Pelita Brunei Online - Isnin, 29 Januari 2021.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan