Ahad, 29 Jun 2014

Kursus Falak Syar'ie UNISSA - UniSZA dirasmikan


KETUA  Hakim Syar’ie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim semasa hadir pada Majlis Perasmian Kursus Sijil Falak Syar’ie UNISSA - UniSZA 2014.
KETUA Hakim Syar’ie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim semasa hadir pada Majlis Perasmian Kursus Sijil Falak Syar’ie UNISSA - UniSZA 2014. (Foto: Muhammad Mahdi Haji Marsidi)

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Jun. - Ilmu Falak adalah merupakan salah satu bidang sains - agama yang perlu dan wajar untuk dipelajari, difahami dan diterokai kerana ianya adalah sebahagian daripada Ilmu Fiqh.

Menyedari akan kedudukan kepentingan ilmu ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerusi Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dengan kolaborasi Jabatan Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, Malaysia dan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan Negara Brunei Darussalam buat julung kalinya mengendalikan Kursus Sijil Falak Syar'ie UNISSA - UniSZA 2014.

Sehubungan dengan itu Majlis Perasmian Kursus Sijil Falak Syar'ie UNISSA - UniSZA 2014, berlangsung pagi tadi di Dewan Auditorium, UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya merasmikan kursus tersebut ialah Ketua Hakim Syar'ie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim.

Pengarah PPIB, Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad, selaku Pengerusi Majlis dalam ucapannya berkata, kursus ini akan berlangsung selama lebih kurang empat minggu mulai 11 Syaaban hingga 7 Ramadan 1435 Hijriah / 9 Jun hingga 5 Julai 2014 Masihi.
 090614 MAHDI1 UNISSA
PENGARAH Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad semasa berucap selaku Pengerusi Majlis Perasmian Kursus Sijil Falak Syar'ie UNISSA - UniSZA 2014. (Foto : Muhammad Mahdi Haji Marsidi)

Kursus tersebut, jelasnya, antara lain mengetengahkan isu-isu yang berkaitan mengenai Perkembangan Ilmu Falak Alam Melayu, Ilmu Falak Dalam Skop Besar Sains Angkasa, Isu-isu Semasa Ilmu Falak, Geometri Samawi dan Sistem Waktu, Takwim Istilahi dan Penentuan Kiblat, Waktu Solat, Penerbitan Jadual Waktu Solat, Penggunaan Almanak Falak Syar'ie, Hitungan Waktu Lintasan Matahari bersamaan Kiblat, Sains Kenampakan Anak Bulan, Perspektif Rukyah dan Hisab, Hitungan Data Rukyah, Penyusunan Takwim Imkannur Rukyah, Simulasi Rukyah, Amali Penjejakan dan Cerapan Anak Bulan.

Sementara itu Bahagian Instrumentasi dan Praktikum pula, terangnya, akan mengetengahkan Penggunaan Teodolit, Penentuan Koordinat Geografi Bumi, Penggunaan Kompas Ukur, Penandaan Arah Kiblat, Cerapan Matahari untuk Penentuan Azimut, di samping Penggunaan Teleskop.

Beliau berharap kursus ini akan dapat menangani masalah-masalah berkaitan implikasi falak, di samping mewujudkan satu kumpulan kadar pelajar dan karyawan yang mampu menggembleng usaha bagi memajukan bidang ini dalam konteks bidang sains - agama serta mengembangkan disiplin ilmu yang mempunyai kaitan secara langsung dengan ibadat.

Manakala bagi para mahasiswa dan mahasiswi pula, kursus ini diharap akan dapat dijadikan sebagai nilai tambah kepada Program Melahirkan Ulama iaitu integrasi ilmu agama dan ilmu sains (astronomi) dan seterusnya menyediakan peluang kemahiran insaniah dengan potensi kebolehpasaran kepada graduan UNISSA.
090614 MAHDI3 UNISSA

PARA jemputan serta peserta kursus terdiri dari jabatan-jabatatan kerajaan yang terbabit serta staf akademik dan mahasiswa serta mahasiswi dari institusi pengajian yang tinggi semasa hadir di Majlis Perasmian Kursus Sijil Falak Syar'ie UNISSA - UniSZA 2014.
(Foto : Muhammad Mahdi Haji Marsidi)

Kursus dikendalikan oleh fasilitator jemputan dari dalam dan luar negara iaitu Profesor Madya Dr. Baharuddin bin Zainal dan Ahmad Taufan bin Abdul Rashid dari UniSZA serta Awang Haji Julahi bin Haji Lamat dan Awang Haji Khairul Abidin bin Haji Sulaiman dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.

Acara kemudian diteruskan dengan bicara ilmiah mengenai 'Pengajian Falak Dalam Konteks Agama dan Sains' yang disampaikan oleh Pakar Ilmu Falak UniSZA, Profesor Madya Dr. Baharuddin bin Zainal.

Dalam bicara ilmiah tersebut beliau menjelaskan bahawa proses memajukan ilmu Falak perlu berada pada tahap yang lebih baik sesuai dengan kedudukannya sebagai ilmu fardu kifayah.

Ilmu Falak yang progresif sifatnya, secara mutlak perlu merangkumi juzuk ilmu yang meliputi fizik, matematik, ilmu ukur, geografi, sains angkasa dan etno sains.

Kursus disertai oleh para pegawai dan kakitangan daripada Jabatan Ukur, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Mahkamah Syariah, staf akademik dan mahasiswa serta mahasiswi UNISSA, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Institut Teknologi Brunei (ITB) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB). - Aimi Sani

- Pelita Brunei Online. 10 Jun 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan