Ahad, 13 Julai 2014

Jangan sebar maklumat mengelirukan orang ramai

Oleh: Siaran Akhbar Mahkamah Syariah

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Julai. - Berikutan tersebarnya di media-media sosial dokumen berhubung dengan pengisytiharan penglihatan anak bulan pada 29 Syabaan 1435 Hijriah bersamaan 27 Jun 2014 Masihi. Pihak Mahkamah-Mahkamah Syariah telah menjalankan siasatan perkara tersebut.

Hasil siasatan dijalan mendapati bahawa dokumen tersebut bukanlah dokumen yang dikeluarkan atau disediakan oleh pihak Mahkamah-Mahkamah Syariah bagi tujuan pengisytiharan pengumuman penglihatan anak bulan Ramadan pada malam tersebut.

Dokumen tersebut adalah dokumen yang disediakan oleh satu kumpulan peserta kursus yang sedang menjalani kursus berkaitan falak yang dianjurkan oleh salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. Peserta kursus dikehendaki membuat tugasan dalam kursus berkenaan termasuk penyediaan dokumen tersebut.

Sehubungan dengan itu, pihak Mahkamah-Mahkamah Syariah menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang boleh mengelirukan orang ramai berhubung dengan isu-isu sedemikian.

Pihak Mahkamah-Mahkamah Syariah juga mengambil kesempatan untuk memberi nasihat kepada orang ramai berikutan tersebarnya maklumat itu  di media-media sosialdan  perkara berhubung dengan aktiviti penglihatan anak bulan yang telah diubah suai bagi tujuan tidak senonoh dan jenaka, agar tidak melakukan dan meyebarkan perkara tersebut kerana perkara berhubung dengan penglihatan anak bulan adalah merupakan satu perkara ibadat. Perbuatan sedemikian boleh mencemarkan nama baik dan merendahkan ugama Islam.

Untuk makluman orang ramai perbuatan sedemikian boleh dikenakan hukuman di bawah Bab 220 Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah, 2013 yang telah dikuatkuasakan pada 01 Mei 2014 baru-baru ini.

Dalam Bab 220,mana-mana orang yang dengan cara lisan, tulisan, pernyataan zahir atau sebarang cara menghina atau menyebarkan dipandang hina, mencerca, mempersenda, mengolok-olok, mengajuk atau mengejek -
(a) ajaran ugama Islam;
(b) amalan atau upacara yang berkaitan dengan ugama Islam;
(c) perkataan yang dianggap suci oleh orang Islam;
(d) mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa yang berkaitan dengan ugama Islam;
(e) mana-mana sahabat;
(f) qaul-qaul mana-mana mazhab yang mu’tabar atau;
(g) mana-mana fatwa yang disiarkan dalam Warta Kerajaan; adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi BND12,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak Mahkamah-Mahkamah Syariah berharap orang ramai akan mengambil maklum dan perhatian berhubung perkara ini.

- Pelita Brunei Online. Rabu, 11 Ramadhan 1435H / 7 Julai 2014M.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan