Isnin, 14 Julai 2014

Guna matahari untuk arah Kiblat

Oleh: Hazarry Haji Ali Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Umat Islam di negara ini boleh menentukan arah Kiblat yang tepat ketika matahari berada tepat di atas Kaabah pada petang esok, Jumaat, 16 Julai.

Ketika bumi mengelilingi matahari, ia berputar di paksinya dengan kecondongan 23.5 darjah dari satah ekliptik. Oleh kerana itu, dalam setahun matahari akan berada tepat di atas Kaabah sebanyak dua kali iaitu apabila nilai sudut deklinasinya bersamaan dengan latitud Makkah (21.421 darjah Utara).

Menurut hitungan falak, fenomena istiwa adzam di Kaabah ini akan jatuh pada setiap 28 Mei pukul 5.16 petang dan sekali lagi pada 16 Julai pukul 5.28 petang waktu Brunei setiap tahun.

Pada waktu-waktu tadi, penduduk di Makkah akan mendapati matahari sedang berada tepat di atas kepala mereka. Dari tempat-tempat lain di dunia pula, kedudukan matahari di langit boleh dimanfaatkan sebagai penunjuk arah Kiblat.

Untuk menyemak mahupun menentukan arah Kiblat, seseorang itu hanya perlu menggunakan objek lurus seperti tiang atau sisi-sisi rumah. Objek tadi mestilah berada di sebuah tempat yang tidak terlindung daripada sinaran matahari.

Ia juga mestilah tegak dengan memeriksa menggunakan pemberat yang diikat ke benang (plumbline). Tepat pada pukul 5.28 petang Jumaat (16hb Julai), bayang objek yang dihasilkan oleh matahari adalah arah Kiblat.

Selain dapat menentukan arah Kiblat yang tepat, kaedah tadi juga membolehkan seseorang memperbetulkan hala Kiblat sekiranya berlaku perselisihan dan keraguan sebelum ini.

Selain menggunakan fenomena istiwa adzam di Kaabah, kaedah tradisional falak yang lain seperti menggunakan buruj-buruj bintang dan lintasan matahari harian boleh dijadikan sebagai panduan dalam isu penentuan hala Kiblat.

- Media Permata. Jumaat, 16 Julai 2010.

1 ulasan:

  1. assalamualaikum.. ingin saya bertanya disini saya pernah disoalkan tentang ukuran degree kiblat macam mana kah itu?

    BalasPadam