Sabtu, 20 Jun 2020

Saksi gerhana dalam talian Ahad ini

Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menyaksikan peristiwa astronomi yang jarang berlaku iaitu gerhana matahari, pada petang 21 Jun ini.
Sesi bagi cerapan gerhana itu akan dibawa secara langsung dalam talian di beberapa buah lokasi terpilih di keempat-empat daerah oleh Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD).
Penganjuran program itu di negara ini juga merupakan kolaborasi projek MY-East Asia Universe Awareness Solar Eclipse (MY-EAUNIVASE) di bawah jaringan kerjasama International Astronomical Union (IAU) National Outreach Coordinator yang melibatkan sembilan buah negara di Asia Timur.
Sehubungan dengan itu, orang ramai boleh mengikuti penstriman cerapan fenomena tersebut bermula jam 2:45 petang sehingga 5:30 petang di mana cerapan berkenaan adalah bergantung kepada keadaan cuaca.
Menurut PABD lagi, peristiwa gerhana matahari itu dijangka akan bermula pada pukul 3:10 petang dan berakhir pada pukul 5:23 petang.
Melihat ke arah langit barat dari Brunei Darussalam semasa fenomena gerhana matahari pada 21 Jun ini. Gambar menunjukkan kedudukan matahari dan bulan di langit. – Gambar serahan PABD
Gerhana itu akan berlaku apabila bulan berada sejajar di antara matahari dan bumi, dan semasa gerhana separa, cakera bulan tidak akan meliputi matahari sepenuhnya.
Fenomena gerhana matahari separa akan berlangsung selama 2 jam 13 minit di mana sepanjang peristiwa itu, bulan akan menutupi sebahagian kecil matahari dan ketika puncak gerhana, iaitu pada pukul 4:22 petang, hampir 28 peratus matahari akan ditutupi oleh bulan.
Sehubungan dengan itu, persatuan tersebut turut menasihatkan orang ramai yang ingin melihat fenomena berkenaan supaya tidak melihat matahari secara terus tanpa alat perlindungan.
Terdapat beberapa kaedah yang selamat untuk melihat matahari antaranya dengan menggunakan kaca mata kimpalan (welding glass) nombor 14, penapis suria dan projeksi dengan teleskop.
Orang ramai boleh mengikuti penstriman cerapan fenomena itu pada waktu yang telah ditetapkan dengan siaran langsungnya boleh diikuti di laman media sosial Facebook PABD.

Media Permata Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan