BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Jun. -
 Ilmu Falak adalah merupakan salah satu bidang sains - agama yang perlu 
dan wajar untuk dipelajari, difahami dan diterokai kerana ianya adalah 
sebahagian daripada Ilmu Fiqh.
Menyedari akan kedudukan kepentingan 
ilmu ini, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerusi Pusat 
Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dengan kolaborasi Jabatan Unit Falak, 
Fakulti Pengajian Kontemporari, Universiti Sultan Zainal Abidin 
(UniSZA), Terengganu, Malaysia dan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan
 Negara Brunei Darussalam buat julung kalinya mengendalikan Kursus Sijil
 Falak Syar'ie UNISSA - UniSZA 2014.
Sehubungan dengan itu Majlis Perasmian 
Kursus Sijil Falak Syar'ie UNISSA - UniSZA 2014, berlangsung pagi tadi 
di Dewan Auditorium, UNISSA.
Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya 
merasmikan kursus tersebut ialah Ketua Hakim Syar'ie, Yang Amat Arif / 
Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji
 Awang Yahya bin Haji Ibrahim.
Pengarah PPIB, Dr. Siti Sara binti Haji 
Ahmad, selaku Pengerusi Majlis dalam ucapannya berkata, kursus ini akan 
berlangsung selama lebih kurang empat minggu mulai 11 Syaaban hingga 7 
Ramadan 1435 Hijriah / 9 Jun hingga 5 Julai 2014 Masihi.
PENGARAH Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad semasa berucap selaku Pengerusi Majlis Perasmian Kursus Sijil Falak Syar'ie UNISSA - UniSZA 2014. (Foto : Muhammad Mahdi Haji Marsidi)
Kursus tersebut, jelasnya, antara lain 
mengetengahkan isu-isu yang berkaitan mengenai Perkembangan Ilmu Falak 
Alam Melayu, Ilmu Falak Dalam Skop Besar Sains Angkasa, Isu-isu Semasa 
Ilmu Falak, Geometri Samawi dan Sistem Waktu, Takwim Istilahi dan 
Penentuan Kiblat, Waktu Solat, Penerbitan Jadual Waktu Solat, Penggunaan
 Almanak Falak Syar'ie, Hitungan Waktu Lintasan Matahari bersamaan 
Kiblat, Sains Kenampakan Anak Bulan, Perspektif Rukyah dan Hisab, 
Hitungan Data Rukyah, Penyusunan Takwim Imkannur Rukyah, Simulasi 
Rukyah, Amali Penjejakan dan Cerapan Anak Bulan.
Sementara itu Bahagian Instrumentasi dan
 Praktikum pula, terangnya, akan mengetengahkan Penggunaan Teodolit, 
Penentuan Koordinat Geografi Bumi, Penggunaan Kompas Ukur, Penandaan 
Arah Kiblat, Cerapan Matahari untuk Penentuan Azimut, di samping 
Penggunaan Teleskop.
Beliau berharap kursus ini akan dapat 
menangani masalah-masalah berkaitan implikasi falak, di samping 
mewujudkan satu kumpulan kadar pelajar dan karyawan yang mampu 
menggembleng usaha bagi memajukan bidang ini dalam konteks bidang sains -
 agama serta mengembangkan disiplin ilmu yang mempunyai kaitan secara 
langsung dengan ibadat.
Manakala bagi para mahasiswa dan 
mahasiswi pula, kursus ini diharap akan dapat dijadikan sebagai nilai 
tambah kepada Program Melahirkan Ulama iaitu integrasi ilmu agama dan 
ilmu sains (astronomi) dan seterusnya menyediakan peluang kemahiran 
insaniah dengan potensi kebolehpasaran kepada graduan UNISSA.
PARA
 jemputan serta peserta kursus terdiri dari jabatan-jabatatan kerajaan 
yang terbabit serta staf akademik dan mahasiswa serta mahasiswi dari institusi pengajian yang tinggi semasa hadir di Majlis Perasmian Kursus Sijil Falak Syar'ie UNISSA - UniSZA 2014.
(Foto : Muhammad Mahdi Haji Marsidi)
(Foto : Muhammad Mahdi Haji Marsidi)
Kursus dikendalikan oleh fasilitator 
jemputan dari dalam dan luar negara iaitu Profesor Madya Dr. Baharuddin 
bin Zainal dan Ahmad Taufan bin Abdul Rashid dari UniSZA serta Awang 
Haji Julahi bin Haji Lamat dan Awang Haji Khairul Abidin bin Haji 
Sulaiman dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan.
Acara kemudian diteruskan dengan bicara 
ilmiah mengenai 'Pengajian Falak Dalam Konteks Agama dan Sains' yang 
disampaikan oleh Pakar Ilmu Falak UniSZA, Profesor Madya Dr. Baharuddin 
bin Zainal.
Dalam bicara ilmiah tersebut beliau 
menjelaskan bahawa proses memajukan ilmu Falak perlu berada pada tahap 
yang lebih baik sesuai dengan kedudukannya sebagai ilmu fardu kifayah.
Ilmu Falak yang progresif sifatnya, 
secara mutlak perlu merangkumi juzuk ilmu yang meliputi fizik, 
matematik, ilmu ukur, geografi, sains angkasa dan etno sains.
Kursus disertai oleh para pegawai dan 
kakitangan daripada Jabatan Ukur, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Hal 
Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Mahkamah Syariah, staf 
akademik dan mahasiswa serta mahasiswi UNISSA, Universiti Brunei 
Darussalam (UBD), Institut Teknologi Brunei (ITB) dan Kolej Universiti 
Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB). - Aimi Sani
- Pelita Brunei Online. 10 Jun 2014.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan