Selasa, 17 Mac 2026

Solat Sunat Gerhana Matahari dan Gerhana Bulan

PENGENALAN

Menurut Kitab 'Umdah al-Qari' Syarh Sahih Bukhari menyatakan bahawa gerhana itu ialah sesuatu perubahan, kejadian, keagungan dan kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang berlaku pada matahari dan bulan yang mana kejadian ini adalah sesuatu perkara yang mudah bagi Allah untuk melakukannya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

Dan antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan juga kepada bulan tetapi sujudlah kepada Allah yang telah menciptakannya jika benar kamu beribadat hanya padaNya.
(Surah Fushshilat : 37)

PENGERTIAN

Gerhana bulan atau Khusuf adalah apabila bumi melindungi bulan dari cahaya matahari sehingga menyebabkan bulan kelihatan gelap.

Gerhana matahari atau Kusuf adalah apabila bulan melindungi bumi dari matahari sehingga bumi menjadi gelap seketika kerana tidak menerima cahaya dari matahari.

Kejadian gerhana ini merupakan di antara tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta'aala yang mentadbir seluruh alam dan sebagai hambaNya kita ikuti fenomena ini dengan penuh rasa kehambaan. Di waktu tersebut kita disarankan untuk memohon keampunan, bertaubat dan memperbanyakkan doa kerana pada waktu itulah doa dimakbulkan.

Di zaman Jahiliyah (sebelum Islam), orang-orang Arab mempercayai bahawa gerhana itu terjadi disebabkan oleh berlakunya kematian seseorang. Kepercayaan ini terbawa-bawa setelah mereka memeluk Islam. Apabila Ibrahim iaitu anak lelaki Rasulullah SAW wafat di dalam usia yang masih kecil dan pada hari tersebut berlaku gerhana matahari. Maka orang-orang yang memperhatikan hal ini percaya bahawa gerhana itu terjadi disebabkan matahari merasa sedih di atas kewafatan Ibrahim itu. 

Walaubagaimanapun, hal ini telah disangkal oleh baginda sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadis yang disampaikan dari Qais RadhiaAllahu 'anhu, ia berkata: Saya telah mendengar Abu Mas'ud berkata bahawa Rasulullaah Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam telah bersabda: 

Sesungguhnya matahari dan bulan itu keduanya tidak terjadi gerhana disebabkan kematian seseorang, akan tetapi kedua itu adalah bukti dari tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Jika kamu melihat gerhana itu, maka hendaklah kamu berdiri untuk mengerjakan solat."
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Di antara perkara yang sunat dilakukan apabila terjadinya gerhana ialah:

  • Solat sunat gerhana
  • Berzikir (Bertakbir, tahmid dan tahlil)
  • Berdoa
  • Bersedekah
  • membebaskan atau memerdekakan hamba

SOLAT SUNAT GERHANA

Mengerjakan Solat Sunat Gerhana dihukumkan sebagai Sunat Muakkadah yang dilakukan sama ada secara berseorangan atau berjemaah di masjid.

Masuk waktu solat sunat gerhana ini ialah apabila nyata dan sabit gerhananya. Waktu berakhirnya Solat Sunat Gerhana Matahari ialah apabila hilang gerhana itu dengan yakin dan dengan terbenamnya matahari di ufuk barat dalam keadaan masih gerhana. Manakala waktu berakhirnya Solat Sunat Gerhana Bulan ialah dengan hilangnya gerhana dan dengan terbitnya matahari (waktu syuruk) bukannya dengan terbit fajar atau terbenamnya bulan pada malam hari dalam keadaannya masih gerhana.

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari

Bagi seorang diri:

Sahaja aku solat sunat gerhana matahari 2 raka'at seorang diri kerana Allah Ta'ala.

Bagi menjadi Imam:

Sahaja aku solat sunat gerhana matahari 2 raka'at menjadi Imam kerana Allah Ta'ala.

Bagi menjadi makmum:

Sahaja aku solat sunat gerhana matahari 2 raka'at menjadi makmum / mengikut Imam kerana Allah Ta'ala.


Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan

Bagi seorang diri:

Sahaja aku solat sunat gerhana bulan 2 raka'at seorang diri kerana Allah Ta'ala.

Bagi menjadi Imam:

Sahaja aku solat sunat gerhana bulan 2 raka'at menjadi Imam kerana Allah Ta'ala.

Bagi menjadi makmum:

Sahaja aku solat sunat gerhana bulan 2 raka'at menjadi makmum / mengikut Imam kerana Allah Ta'ala.


Cara Mengerjakan Sembahyang Sunat Gerhana

Sembahyang ini sunat dikerjakan secara berjemaah di dalam masjid, surau atau balai-balai ibadat. Tidak ada seruan azan sebelum didirikan sembahyang ini tetapi disunatkan melaungkan:

"Marilah sembahyang berjemaah.."

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dari Abdullah bin 'Amr berkata yang maksudnya: 

Ketika terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullaah SAW, lantas diserukan: "Marilah mendirikan sembahyang secara berjemaah."

Jumlah rakaat di dalam kedua-dua sembahyang ini adalah sekurang-kurangnya dua (2) rakaat.

Setiap rakaat dilakukan dua (2) rukuk. Kaedahnya adalah seperti berikut:

  1. Niat
  2. Takbiratul Ihram
  3. Membaca Doa Iftitah
  4. Membaca Surah al-Fatihah
  5. Membaca Surah atau mana-mana ayat al-Quran (Contoh: Surah al-Kaafiruun)
  6. Kemudian rukuk
  7. I'tidal
  8. Membaca Surah al-Fatihah
  9. Membaca Surah atau mana-mana ayat al-Quran (Contoh: Surah al-Ikhlas)
  10. Kemudian rukuk
  11. I'tidal
  12. Sujud
  13. Duduk antara dua (2) sujud
  14. Sujud
  15. Bangun untuk rakaat kedua
  16. Ulang perkara no. 4 hingga 14
  17. Duduk membaca Tahiyyat Akhir
  18. Memberi salam
Disunatkan menyaringkan suara semasa Sembahyang Sunat Gerhana Bulan dan sunat pula memperlahankan suara semasa Sembahyang Sunat Gerhana Matahari.


Membaca Khutbah

Apabila selesai mengerjakan Sembahyang Sunat Gerhana, sunat pula diadakan khutbah sebagaimana hadits riwayat Imam al-Bukhari dari Asma binti Abu Bakar as-Siddiq Radhiallahu 'Anhuma bahawa Rasulullah  bersabda yang bermaksud:

 "..... Maka berpaling Rasulullah SAW dan sesungguhnya matahari telah kelihatan, lalu ia berkhutbah. ia pun memuji Allaah menurut aturan-aturan khutbah kusuf itu, kemudian ia berkata: Adapun kemudian ......"                                          

Sabtu, 28 Februari 2026

Sembahyang Sunat Gerhana Bulan

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 1 Mac. - Merujuk permakluman dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan mengenai Fenomena Gerhana Bulan Penuh, insyaaAllah yang akan berlaku di Negara Brunei Darussalam, pada Selasa, 14 Ramadan 1447 Hijrah bersamaan 3 Mac 2026 Masihi, bermula jam 4.44 petang hingga 10.23 malam.


Umat Islam adalah disunatkan untuk menunaikan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan jika sabit berlakunya gerhana.


Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) akan mengadakan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan utama di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada hari berkenaan selepas Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah (Gerhana Bulan Penuh).


Oleh yang demikian, orang ramai dan jemaah adalah dialu-alukan hadir ke masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi sama-sama menunaikan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan pada tempat, hari dan masa yang telah dinyatakan.




Isnin, 16 Februari 2026

Ramadhan begins Thursday

 February 17, 2026.

Brunei Darussalam will observe the first day of Ramadhan on Thursday, 1st Ramadhan 1447 Hijrah, corresponding to February 19, 2026.

The announcement was broadcast on Radio Television Brunei (RTB) this evening following the failure to sight the hilal (crescent) at vantage points set up across the country.

An official looks through a telescope during the moon-sighting event at the Mutiara Exchange Building. PHOTO: RAFI ROSLI

As Muslims in the country begin fasting on Thursday, Sunnat Terawih prayers, Sunnat Witir and Tedarus Al-Quran will begin Wednesday evening. 

- Borneo Bulletin

Jumaat, 30 Januari 2026

Ketetapan merukyah anak bulan Ramadan

 R Berita : Radio Televisyen Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 29 Januari. - Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Mahkamah Syariah Negara Brunei Darussalam dengan ini memaklumkan kepada orang ramai terutama umat Islam di Negara Brunei Darussalam bahawa Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam dengan ini memaklumkan bahawa Nisfu Syaaban bagi Tahun 1447 Hijrah jatuh pada petang Isnin malam Selasa, 2 Februari 2026 Masihi.

Berikutan dengan itu juga ketetapan bagi merukyah hilal Ramadan bagi Tahun 1447 Hijrah akan dilakukan pada petang Selasa, 29 Syaaban 1447H bersamaan 17 Februari 2026M di Bangunan Mutiara Exchange, Lebuh Raya Tungku Daerah Brunei dan Muara, Taman Rekreasi Tanjung Batu, Kampong Sabun, Pekan Muara Daerah Brunei dan Muara, Bangunan Hilal Bukit Ambog Daerah Tutong dan Bangunan Hilal Bukit Lumut Daerah Belait. 

- PELITA BRUNEI. 12 Syaaban 1447H / 31 Januari 2026

Sabtu, 6 September 2025

Sembahyang Sunat Gerhana Bulan pukul 2.12 pagi esok

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT - Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid akan mengadakan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara, dengan tumpuan utama di Masjid Omar 'Ali Saifuddien pada pukul 2.12 pagi, waktu berlakunya Gerhana Bulan Penuh pada 8 September.

Sementara itu, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan memaklumkan akan berlaku fenomena Gerhana Bulan Penuh dijangka dapat disaksikan di Negara Brunei Darussalam bermula pukul 12.27 pagi hingga 3.56 pagi.

Sehubungan itu, umat Islam disunatkan menunaikan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan sekiranya berlakunya gerhana.

Orang ramai serta jemaah dialu-alukan hadir ke masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi menunaikan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh akan dapat disaksikan bermula pada pukul 12.27 pagi pada 8 September - GAMBAR SERAHAN PABD

Media Permata - 7 September 2025

Hebahan: Sembahyang Sunat Gerhana Bulan