KETUA Hakim 
Syar’ie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka
 Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya bin Haji Ibrahim semasa berucap 
selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan Kursus Sijil Falak 
Syar’ie UNISSA - UniSZA 2014.
                              
        
                  
      (Foto: Muhammad Mahdi Haji Marsidi)
  
            
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Jun. -
 Ilmu Falak Syar'ie atau astronomi merupakan cabang sains Islam yang 
merangkumi pemerhatian, pencerapan dan penjelasan mengenai perkara yang 
berlaku di luar bumi dan atmosfera bumi.
Ketua Hakim Syar'ie, Yang Amat Arif/Yang
 Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji 
Awang Yahya bin Haji Ibrahim berkata, kedudukan ilmu Falak ini adalah 
fardu kifayah sahaja tetapi berdasarkan tuntutan keperluan di zaman ini,
 ianya telah hampir kepada fardu ain.
"Ini adalah memandangkan ilmu Falak ini 
mempunyai hubung kait yang sangat rapat dengan penentuan waktu-waktu 
solat, ibadah-ibadah wajib dan sunat yang lain," jelas Ketua Hakim 
Syar'ie semasa berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian 
Kursus Sijil Falak Syar'ie Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) -
 Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu (UniSZA), bertempat di 
Dewan Auditorium UNISSA.
Realitinya, jelas Ketua Hakim Syar'ie, 
ilmu ini telah menjadi asing bagi sesetengah golongan dalam masyarakat 
kerana hanya segolongan sahaja yang mendalami ilmu ini.
Kepentingan ilmu Falak ini, terangnya, 
adalah amat jelas di mana Baginda Rasululah Sallallahu Alaihi Wasallam 
telah menjadikannya sebagai panduan di dalam menentukan mula melakukan 
ibadah puasa.
Oleh itu Ketua Hakim Syar'ie berharap 
agar ilmu tersebut terus dikaji dan dipelajari sehingga boleh menjadi 
landasan dan rujukan mana-mana pegawai, kakitangan serta pelajar di masa
 akan datang.
"Saya penuh yakin bahawa ilmu tentang 
Falak Syar'ie adalah ilmu yang amat penting di dalam kalendar Islam 
walaupun di alam Melayu ilmu ini kurang mendapat tempat di dalam aspek 
kajian dan penulisan padahal pada hakikatnya ilmu ini adalah ilmu asas 
yang terdapat dalam tamadun Islam dan merupakan ilmu utama yang amat 
ditekankan oleh para ulama intelektual Muslim bermula sejak awal Islam 
lagi," terangnya memberikan keyakinan.
Ilmu Falak Syar'ie, tambahnya, terus 
berkembang sehingga zaman Pemerintahan Umaiyyah yang mana puncak 
kecemerlangan perkembangan ilmu berkenaan adalah ketika pemerintahan 
Khalifah Al-Makmun.
- Pelita Brunei Online. 10 Jun 2014.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan