TUTONG, Ahad, 5 Jun. -
 Umat Islam di negara ini akan mula menunaikan ibadah puasa pada hari 
Selasa, 7 Jun ini bersamaan 1 Ramadan 1437 Hijrah berikutan anak bulan 
Ramadan tidak sabit kelihatan hasil merukyah anak bulan yang dilakukan 
di beberapa lokasi di negara ini pada lewat petang tadi.
Bagi Daerah Tutong, seperti lazimnya Bukit Ambok digunakan sebagai tempat merukyah awal anak bulan Ramadan.
Antara yang hadir, Ahli-ahli Majlis 
Mesyuarat Negara daerah ini dan beberapa pegawai dari Kementerian Hal 
Ehwal Ugama (KHEU) berada di sini bagi tujuan berkenaan.
Hadir sama, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Adnan bin Haji Adam.
Pengumuman mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadan disiarkan ke seluruh negara melalui Radio dan Televisyen Brunei.
Sembahyang Sunat Terawih dan 
Majlis-majlis Bertadarus akan dimulakan di masjid-masjid, surau-surau 
dan balai-balai ibadat di seluruh negara esok.
Sehubungan dengan itu waktu bekerja pada
 bulan Ramadan bagi kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan
 di negara ini akan bermula dari 8.00 pagi hingga 2.00 petang, manakala 
mereka yang bergaji hari hendaklah dikurangkan satu jam dari waktu biasa
 dan jam memulakan waktu bekerja mengikut budi bicara ketua 
masing-masing.
Manakala bagi sekolah-sekolah termasuk 
maktab-maktab, pengajian tinggi, sekolah-sekolah menengah dan rendah 
serta sekolah swasta akan mengikut jadual atau pemakluman yang akan 
dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.
Bagi pelajar-pelajar sekolah agama di 
bawah KHEU, pelajar Pra, Darjah I, II dan III akan dicutikan sepanjang 
Ramadan hingga Syawal, manakala Darjah IV, V dan VI akan hanya memulakan
 kelas dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang sahaja.
- Pelita Brunei Online. Hari Isnin, 30 Sya'baan 1437H / 06 Jun 2016M.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan