Khamis, 9 Jun 2016

Anak bulan Ramadan tidak sabit kelihatan

Oleh:  Berita dan Foto : Mohamad Azmi Awang Damit 


BUKIT AGOK, Ahad, 5 Jun. - Umat Islam di Negara Brunei Darussalam akan mula menunaikan ibadah puasa pada hari Selasa, 7 Jun 2016 Masihi bersamaan 1 Ramadan 1437 Hijrah berikutan anak bulan Ramadan tidak sabit kelihatan setelah rukyah dilakukan di beberapa lokasi yang telah ditetapkan di negara ini.

Penglihatan yang dilakukan di Bukit Agok, Jerudong juga tidak berhasil melihat anak bulan tersebut.
Berikutan anak bulan Ramadan tidak sabit kelihatan, maka bulan Syaaban digenapkan menjadi 30 hari dan sehubungan dengan itu Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir serta Majlis-majlis Bertadarus Al-Quran akan dimulakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara bermula malam esuk.

Antara yang berada di Bukit Agok ialah Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Pengiran Dr. Haji Badaruddin bin Pengiran Abdul Rahman dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Awang Haji Ali-Bolkiah bin Haji Md. Diah.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Pengiran Dr. Haji Badaruddin bin Pengiran Abdul Rahman

Kerja-kerja merukyah anak bulan tersebut telah dilakukan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri, Jabtan Mahkamah Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Jabatan Ukur.

Pengumuman mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadan turut disiarkan ke seluruh negara melalui Radio dan Televisyen Brunei.

- Pelita Brunei Online. Isnin, 30 Sya'baan 1437H / 06 Jun 2016M.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan