Isnin, 13 Oktober 2014

Gerhana kejadian keagungan Allah

  • Oleh:  Mohammad Arif Matali
MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman bersama jemaah ketika menunaikan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan.
MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman bersama jemaah ketika menunaikan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan. (Foto: Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali)

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 Oktober. - Gerhana merupakan suatu kejadian memperlihatkan keagungan dan kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala yang berlaku pada matahari dan bulan sebagai tanda bukti kekuasaan-Nya seperti mana adanya siang dan malam.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyeru umat Islam supaya melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar apabila berlakunya gerhana.
Perkara tersebut terkandung dalam khutbah khas pada Sembahyang Sunat Gerhana Bulan lewat yang disampaikan oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Awang Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, di sini.
Menurut Yang Dimuliakan Pehin, apabila berlakunya gerhana, umat Islam seharusnya segera bertaubat atas segala dosa yang dilakukan serta menghindarkan diri dari melakukan perkara-perkara yang mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam.
Berikutan fenomena tersebut seluruh masjid, surau dan balai ibadat di negara ini mengadakan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan.
Sembahyang Sunat Gerhana Bulan diimamkan oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Awang Haji Suhaili.
Antara yang hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap I, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd. Yussof; Setiausaha Tetap II, KHEU, Awang Haji Mohammad ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam; Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Harun bin Haji Junid, pengarah-pengarah, pegawai-pegawi kanan dan kakitangan dari KHEU serta penduduk-penduduk yang tinggal disekitarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan