Isnin, 13 Oktober 2014

KHUTBAH GERHANA BULAN - Fenomena Gerhana Bulan tanda kebesaran Allah

MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan sebenar-benar taqwa, iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Dengan yang demikian, mudah- mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan unggul serta mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala di dunia dan di akhirat.
Allah Subhanahu Wata’ala Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui akan segala kejadian, Dialah juga yang menjadikan apa yang ada di bumi seperti manusia, jin, tumbuh-tumbuhan dan haiwan, serta menjadikan apa yang ada di langit seperti bulan, matahari dan sebagainya, iaitu sebagai bukti keterangan yang nyata tentang kudrat, iradah, ilmu, kebijaksanaan serta pengurniaan nikmat dari Allah Subhanahu Wata’ala yang banyak dan luas yang mendorong supaya makhluk-Nya memuji dan bersyukur, serta mengabdikan diri sebagai hamba dengan khusyuk dan tunduk kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Umat Islam mestilah percaya dengan penuh yakin bahawa Allah Subhanahu Wata’ala pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya adalah di bawah kekuasaaan Allah Subhanahu Wata’ala dengan menggerakkannya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradah Allah Subhanahu Wata’ala jua, dan perkara tersebut mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri, maha suci Allah pentadbir seru sekalian alam.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ibrahim ayat 33:
Tafsirnya : “Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.”
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala menjadikan malam dan siang adalah sebagai tanda kekuasaan atau bukti kekuasaan-Nya, keduanya (malam dan siang) akan mengakibatkan perubahan dan perbezaan cuaca, masa dan waktu. Begitu juga dengan kejadian gerhana, adapun gerhana itu terbahagi kepada dua iaitu gerhana matahari dan bulan. Gerhana itu ialah suatu perubahan, suatu kejadian, suatu keagungan dan kesabaran Tuhan yang berlaku pada matahari dan bulan di mana kejadian ini adalah suatu perkara yang amat mudah bagi Allah Subhanahu Wata’ala melakukannya.
Oleh itu jika berlaku kejadian gerhana matahari atau bulan, ianya bukanlah merupakan suatu tanda akan timbul suatu kejadian yang aneh dan mengkhuatirkan, tetapi gerhana itu berlaku atas sifat wajib bagi Allah Subhanahu Wata’ala iaitu berkehendak dan berkuasa atas segala sesuatu yang tidak dapat dihalang oleh apa jua kekuatan pun di dunia ini, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
Maksudnya : “Dari Abi Mas’ud Radiallahuanhu ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak akan gerhana kerana kematian atau hidupnya seseorang, keduanya itu adalah bukti dari tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala. Maka apabila kamu melihat gerhana itu bersembahyanglah dan berdoalah kepada Allah.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Apabila berlaku gerhana, kita sebagai umat Islam adalah dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
Maksudnya : “Dari ‘Aisyah Radiallahuanha ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Maka apabila kamu melihat gerhana itu lalu berdoalah kamu kepada Allah Ta’ala, serta berzikir, bersembahyang dan bersedekah.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Oleh yang demikian, wahai kaum Muslimin, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan semasa berlakunya gerhana bulan ini untuk bersegera bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan, serta memperbanyakkan doa dan istighfar memohon keampunan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala. Di samping itu, marilah kita melakukan perkara-perkara yang berkebajikan dan menghindari daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam. Mudah-mudahan kejadian gerhana ini akan menimbulkan keinsafan, menambahkan dan menguatkan lagi keimanan serta ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 190-191:
Tafsirnya : “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi orang-orang yang berakal: Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata: Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, maha suci Engkau maka peliharalah kami dari azab kubur.”
- Pelita Brunei Online. Jumaat. 10 Oktober 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan