Isnin, 14 Julai 2014

Guna matahari untuk arah Kiblat

Oleh: Hazarry Haji Ali Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Umat Islam di negara ini boleh menentukan arah Kiblat yang tepat ketika matahari berada tepat di atas Kaabah pada petang esok, Jumaat, 16 Julai.

Ketika bumi mengelilingi matahari, ia berputar di paksinya dengan kecondongan 23.5 darjah dari satah ekliptik. Oleh kerana itu, dalam setahun matahari akan berada tepat di atas Kaabah sebanyak dua kali iaitu apabila nilai sudut deklinasinya bersamaan dengan latitud Makkah (21.421 darjah Utara).

Menurut hitungan falak, fenomena istiwa adzam di Kaabah ini akan jatuh pada setiap 28 Mei pukul 5.16 petang dan sekali lagi pada 16 Julai pukul 5.28 petang waktu Brunei setiap tahun.

Pada waktu-waktu tadi, penduduk di Makkah akan mendapati matahari sedang berada tepat di atas kepala mereka. Dari tempat-tempat lain di dunia pula, kedudukan matahari di langit boleh dimanfaatkan sebagai penunjuk arah Kiblat.

Untuk menyemak mahupun menentukan arah Kiblat, seseorang itu hanya perlu menggunakan objek lurus seperti tiang atau sisi-sisi rumah. Objek tadi mestilah berada di sebuah tempat yang tidak terlindung daripada sinaran matahari.

Ia juga mestilah tegak dengan memeriksa menggunakan pemberat yang diikat ke benang (plumbline). Tepat pada pukul 5.28 petang Jumaat (16hb Julai), bayang objek yang dihasilkan oleh matahari adalah arah Kiblat.

Selain dapat menentukan arah Kiblat yang tepat, kaedah tadi juga membolehkan seseorang memperbetulkan hala Kiblat sekiranya berlaku perselisihan dan keraguan sebelum ini.

Selain menggunakan fenomena istiwa adzam di Kaabah, kaedah tradisional falak yang lain seperti menggunakan buruj-buruj bintang dan lintasan matahari harian boleh dijadikan sebagai panduan dalam isu penentuan hala Kiblat.

- Media Permata. Jumaat, 16 Julai 2010.

Ahad, 13 Julai 2014

Jangan sebar maklumat mengelirukan orang ramai

Oleh: Siaran Akhbar Mahkamah Syariah

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Julai. - Berikutan tersebarnya di media-media sosial dokumen berhubung dengan pengisytiharan penglihatan anak bulan pada 29 Syabaan 1435 Hijriah bersamaan 27 Jun 2014 Masihi. Pihak Mahkamah-Mahkamah Syariah telah menjalankan siasatan perkara tersebut.

Hasil siasatan dijalan mendapati bahawa dokumen tersebut bukanlah dokumen yang dikeluarkan atau disediakan oleh pihak Mahkamah-Mahkamah Syariah bagi tujuan pengisytiharan pengumuman penglihatan anak bulan Ramadan pada malam tersebut.

Dokumen tersebut adalah dokumen yang disediakan oleh satu kumpulan peserta kursus yang sedang menjalani kursus berkaitan falak yang dianjurkan oleh salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. Peserta kursus dikehendaki membuat tugasan dalam kursus berkenaan termasuk penyediaan dokumen tersebut.

Sehubungan dengan itu, pihak Mahkamah-Mahkamah Syariah menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang boleh mengelirukan orang ramai berhubung dengan isu-isu sedemikian.

Pihak Mahkamah-Mahkamah Syariah juga mengambil kesempatan untuk memberi nasihat kepada orang ramai berikutan tersebarnya maklumat itu  di media-media sosialdan  perkara berhubung dengan aktiviti penglihatan anak bulan yang telah diubah suai bagi tujuan tidak senonoh dan jenaka, agar tidak melakukan dan meyebarkan perkara tersebut kerana perkara berhubung dengan penglihatan anak bulan adalah merupakan satu perkara ibadat. Perbuatan sedemikian boleh mencemarkan nama baik dan merendahkan ugama Islam.

Untuk makluman orang ramai perbuatan sedemikian boleh dikenakan hukuman di bawah Bab 220 Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah, 2013 yang telah dikuatkuasakan pada 01 Mei 2014 baru-baru ini.

Dalam Bab 220,mana-mana orang yang dengan cara lisan, tulisan, pernyataan zahir atau sebarang cara menghina atau menyebarkan dipandang hina, mencerca, mempersenda, mengolok-olok, mengajuk atau mengejek -
(a) ajaran ugama Islam;
(b) amalan atau upacara yang berkaitan dengan ugama Islam;
(c) perkataan yang dianggap suci oleh orang Islam;
(d) mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa yang berkaitan dengan ugama Islam;
(e) mana-mana sahabat;
(f) qaul-qaul mana-mana mazhab yang mu’tabar atau;
(g) mana-mana fatwa yang disiarkan dalam Warta Kerajaan; adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah jika sabit kesalahan dikenakan suatu denda tidak melebihi BND12,000, dihukum penjara selama suatu tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak Mahkamah-Mahkamah Syariah berharap orang ramai akan mengambil maklum dan perhatian berhubung perkara ini.

- Pelita Brunei Online. Rabu, 11 Ramadhan 1435H / 7 Julai 2014M.

Isnin, 7 Julai 2014

Kursus Sijil Falak Syari'e labuh tirai


BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Julai - Seramai 24 peserta Kursus Sijil Falak Syari'e UNISSA-UniSZA 2014 kelmarin telah menerima sijil setelah berjaya menamatkan kursus empat minggu itu di majlis penutup dan penghargaan yang diselajurkan dengan majlis berbuka puasa di Rizqun International Hotel.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Muhd. Lutfi bin Abdullah.

Turut hadir ke majlis tersebut Rektor UNISSA, Dr Norarfan bin Haji Zainal, Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa selaku pengerusi majlis, Dr Siti Sara Haji Ahmad, para jemputan khas serta pegawai-pegawai utama UNISSA.

Kursus latihan yang telah bermula 9 Jun lalu itu adalah yang julung-julung kalinya dikendalikan oleh Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UNISSA dengan kerjasama Jabatan Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu, Malaysia (UniSZA) dan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam.