Ilmu-ilmu yang dimiliki oleh kaum Muslimin terutamanya Ilmu Falak selepas zaman kewafatan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi wa Sallam khususnya di zaman Khulafa ur-Raasyidiin belum lengkap, maka mereka memulakan usaha menterjemah buku-buku dari bahasa asing (bukan Arab). Usaha penterjemahan ini dimulakan sejak zaman Kerajaan Bani Umaiyah (661 - 750M).
Usaha penterjemahan ini digiatkan lagi semasa zaman Kerajaan Bani 'Abbasiyah yang digalakkan oleh khalifah-khalifah Bani 'Abbas. Para khalifah Bani 'Abbas terutamanya Khalifah Abu Ja'far al-Mansur (754 - 775M) telah mendatangkan ahli-ahli penterjemah yang menterjemahkan kitab-kitab ilmu Falak dari Yunani (Greek), Persia dan India.
Di zaman pemerintahan Khalifah Abdullah al-Makmun (813 - 817M), kegiatan ini bertambah maju. Baginda telah menghantar satu rombongan ahli penterjemah ke Rom iaitu terdiri dari Al-Bathriq, Salm (Pemimpin Baitul Hikmah, Baghdad), Al-Hajjaj bin Mathar dan Hunain bin Ishaaq. Di sana, mereka telah memilih kitab-kitab yang belum pernah dimiliki oleh umat Islam dan dibawa balik ke Baghdad untuk diterjemahkan, diteliti, dikaji dan dibahas dengan lebih terperinci.
Belum sampai satu abad berdirinya pemerintahan Bani 'Abbasiyah, ulama-ulama Islam telah memiliki ilmu tersebut dan lahirlah ahli-ahli falak yang tidak kurang handalnya.
Sesudah gerakan penterjemah barulah datang gerakan penyempurnaan, penyusunan dan penemuan sendiri berdasarkan ilmu-ilmu yang telah diterjemah. Salah satu tokoh yang terkenal di dalam bidang ilmu falak ketika itu ialah Abu ar-Raihan Ahmad bin Muhammad al-Biruni (wafat pada tahun 430H) yang juga seorang ahli kaji bumi.
Ketika pemerintahan Kerajaan Fathimiyyah di Mesir, salah seorang tokoh yang terkenal di dalam ilmu falak ini dan juga ilmu alam ialah Ibnu Yunus. Beliau dan beberapa ulama yang lain telah mengarang ratusan buah kitab di dalam bahasa Arab yang kemudiannya diterjemahkan oleh orang Eropah ke dalam bahasa mereka. Orang Eropah yang pada waktu itu agak mundur di dalam ilmu berkenaan terpaksa mempelajari bahasa Arab supaya ilmu-ilmu yang didapati itu dapat diterjemah ke dalam bahasa mereka.
Ketika Kerajaan Umaiyah II di Andalus (Sepanyol), orang-orang Eropah dari Perancis, Itali, Jerman dan Inggeris datang ke kota-kota di negeri Andalus seperti Qurthubah (Cordova) bagi belajar ilmu-ilmu berkenaan. Setelah mereka kembali ke negeri masing-masing, mereka mendirikan sekolah-sekolah bagi mengajarkan dan mengembangkan ilmu-ilmu berkenaan.
Jasa-jasa ahli falak Islam memang diperakui oleh orang-orang Barat sendiri. Kesan ilmu itu sendiri dapat masih dapat dilihat walaupun mereka mengenalkan ilmu falak sebagai astronomi. Banyak istilah-istilah dan nama-nama Arab digunapakai di dalam ilmu astronomi.
Sayangnya, kesemua kitab-kitab yang telah diperolehi semasa zaman 'Abbasiyah telah musnah dibakar dan dibuang ke dalam Sungai Furat ketika Tentera Monggol pimpinan Hulagu Khan telah menawan Baghdad dan membakar perpustakaan Baitul Hikmah, Baghdad. Diceritakan juga, air Sungai Furat menjadi hitam akibat warna dakwat dari kitab-kitab yang dicampak ke dalam sungai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan