March 23, 2022
Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Negara Brunei Darussalam akan merukyah anak bulan Ramadan bagi tahun 1443 Hijrah di seluruh negara pada petang hari Jumaat, 29 Syaaban bersamaan 1 April 2022.
Sehubungan dengan itu, hakim-hakim syarie dan pegawai-pegawai mahkamah-mahkamah syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan akan berada di tempat-tempat yang telah ditetapkan.
Kawasan yang ditetapkan adalah Bangunan Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC); Bukit Agok, Jerudong; Tanjung Batu, Kampung Sabun; Bukit Ambok, Daerah Tutong dan Bukit Lumut, Daerah Belait.
Pengumuman 1 Ramadan akan disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) sebaik-baik sahaja rukyah pada petang hari berkenaan diperoleh melalui pemakluman yang dilakukan melalui siaran RTB.
Dengan itu, sepanjang penglihatan anak bulan itu, orang ramai dinasihatkan memberikan kerjasama supaya tidak mendekati kawasan-kawasan yang telah dimaklumkan.
- Media Permata Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan