Berita dan Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
TUNGKU LINK, Isnin, 12 April. - Penentuan bagi umat Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk memulakan ibadah puasa Ramadan 1442 Hijrah ditentukan dengan rombongan pencerapan anak bulan Ramadan di beberapa buah tempat di negara ini.
Cerapan anak bulan turut diadakan seperti lazimnya di Blok Menara Data Stream Technology Sdn. Bhd. (DST), hari ini, di sini.
Antara yang hadir pada majlis pencerapan tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria.
Terdahulu sebelum pencerapan dimulakan beberapa taklimat ringkas telah disampaikan. Taklimat mengenai proses pencerapan anak bulan Ramadan disampaikan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Awang Haji Sahrin bin Haji Kadih dan diikuti dengan taklimat berhubung kedudukan anak bulan Ramadan dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan yang disampaikan oleh Juruukur, Awang Haji Khairul Abidin bin Haji Sulaiman.
Berikutan anak bulan Ramadan tidak sabit kelihatan, maka umat Islam di negara ini akan mula berpuasa pada Rabu, 14 April 2021 dan Sembahyang Sunat Tarawih juga akan bermula esok malam.
Majlis pencerapan tersebut diakhiri dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah. Hasil pencerapan anak bulan Ramadan tersebut turut disiarkan ke seluruh negara melalui radio dan televisyen.
Pada tahun ini, antara lokasi ditetapkan untuk merukyah anak bulan Ramadan 1442 Hijrah ialah Menara DST, Bangunan DST Headquarters, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Ambog, Daerah Tutong dan beberapa tempat yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan