Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN,
Ahad, 7 Februari. - Berikutan
kejadian bebola api misteri diiringi letupan kuat yang dilaporkan jatuh ke bumi
pada 31 Januari baru-baru ini, sekumpulan Persatuan Astronomi Negara Brunei
Darussalam (PABD) masih menjalankan penyiasatan dan pemerhatian lanjut di
lokasi-lokasi berdasarkan video dan gambar meteor yang dilaporkan.
Selain berkerjasama dengan Sabah
Stargazers, PABD juga mendapatkan maklumat mengenai koordinat di langit meteor
yang dikongsikan oleh kumpulan Jimmy Sieera Brunei semasa kejadian itu berlaku.
Menurut pihak PABD, pada masa ini,
terdapat dua sumber utama bukti berdasarkan dua rakaman 'dashcam' secara
kebetulan merakam kejadian meteor pada masa yang sama dari Kampung Kulapis dan
juga dari negara jiran di Penampang, Sabah.
Maklumat tersebut menjadi bukti yang
kukuh untuk menentukan ciri-ciri fizikal meteor tersebut dan lokasinya, yang
kemudiannya didukung dengan statistik daripada saksi lain.
Semasa kejadian, kecerahan bola api
sukar dianggarkan berikutan cahaya matahari yang terang. Namun kecerahan bola
api biasanya diukur dari magnitud-5 (bersamaan dengan planet Zuhrah) sehingga
magnitud-10 (cahaya yang dihasilkan oleh bulan suku 'illuminated').
Berdasarkan rakaman video oleh Awang
Abd. Wafiy bin Haji Rudzi, cahaya dari bebola api dianggarkan berada pada
magnitud-13 yang bersamaan dengan cahaya yang dihasilkan oleh bulan penuh.
Justeru ini menjadikan peristiwa tersebut sangat jarang berlaku dan sangat
istimewa.
Kebanyakan meteor pada lazimnya bersaiz
diameter 1 milimeter atau kira-kira sebutir pasir akan mempunyai keupayaan
untuk menghasilkan kilauan cahaya di langit. Tetapi bebola api yang terlihat
jelas semasa kejadian tersebut adalah berganda saiznya, iaitu objek bersaiz
sebiji bola besbol hingga sesuatu yang besar seperti sebuah kereta kecil.
Analisis awal PABD menentukan anggaran
lokasi letupan meteor yang berlaku di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira
30 kilometer dari Bandar Seri Begawan, berhampiran Teluk Brunei dan Barat Daya
Pulau Labuan. Berdasarkan sudut ketinggian, kedudukan bola api apabila letupan
sengit berlaku dianggar kira-kira 35 kilometer tinggi di atas tanah.
Apabila meteor yang bergerak menembusi
atmosfera bumi pada kelajuan yang luar biasa, dengan ketinggian di bawah 60
kilometer dan meletup sebagai 'bolide', terdapat peluang yang tinggi bagi
meteor tersebut mencetuskan ledakan bunyi yang kuat (sonic boom) yang boleh
didengar oleh penduduk bumi.
Instrumen Pemetaan Kilat Geostationary
(GLM) NASA berdasarkan satelit cuaca GOES telah mengesan bebola api yang
bergerak pada hala laju 14 km/s, iaitu kira-kira 40 kali kelajuan bunyi dengan
impak tenaga radiasi di atmosfera bersamaan 720 tan TNT di atas Negara Brunei
Darussalam.
Maklumat ini telah dilaporkan oleh Pusat
Near-Earth Object Studies, Jet Propulsion Laboratory, California Institute of
Technology dalam laman sesawangnya.
Dalam hal ini, Pertubuhan Meteor
Antarabangsa (IMO) juga mengesahkan dan mengkatalogkan insiden minggu lalu
sebagai Acara 632-2021 di laman sesawang mereka.
Selain ledakan bunyi yang didengar oleh
ratusan netizen melalui media sosial, terdapat 11 laporan yang disahkan
mengenai peristiwa tersebut seperti daripada Daerah Belait, Daerah Brunei dan
Muara dan Sabah pada Ahad, 31 Januari 2021 sekitar 03:02 UT atau 11.02 pagi
waktu tempatan.
Walau bagaimanapun, status trajektori
dan impak meteor masih belum dikesan kerana data yang belum mencukupi.
IMO menganalisis maklumat meteor yang
disediakan oleh saksi dalam talian yang boleh digabungkan dengan saksi lain untuk
memberikan anggaran yang baik mengenai trajektori bebola api, bagi membantu
menentukan sama ada berlakunya kejatuhan tanah dan jua berkemungkinan
berlakunya meteorit.
Sejak tahun 2005, IMO menerima kira-kira
224,000 laporan bola api dari seluruh dunia, atau purata 15,000 laporan setiap
tahun. Tidak banyak laporan mengenai bebola api yang berkaitan dengan meteorit
dilaporkan.
PABD akan terus mengongsikan sebarang
data ataupun maklumat daripada kajian tersebut kepada komuniti saintifik
antarabangsa mahupun serantau untuk menjalankan penyelidikan lanjut mengenai
meteor berkenaan.
Pelita Brunei Online 08/02/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan