Khamis, 15 Jun 2017

Mencari Lailatul Qadar

Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah berfirman:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

  1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur'an itu pada malam Lailatulqadar.
  2. Dan tahukah engkau apakah malam Lailatulqadar itu?
  3. Malam Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.
  4. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan.
  5. Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar.

(Surah al-Qadr: 1 - 5)

Al-Qadr bermaksud kemuliaan. Surah ini dinamakan al-Qadr kerana dalam surah ini Allah menjelaskan tentang kemuliaan dan kebesaran malam Lailatulqadar yang padanya al-Qur'an diturunkan.

Malam Lailatulqadar jatuh pada salah satu malam dari malam-malam sepuloh terakhir Ramadhan. Umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan lagi amalan ibadat pada malam-malam tersebut. Di antara kelebihan yang disebutkan ialah beribadat pada malam tersebut menyamai beribadat selama seribu bulan atau 83 tahun dan 4 bulan.

Bagaimana mencari malam Lailatulqadar? Menurut Imam Ghazali, Lailatul Qadar boleh ditemui berpandukan kepada tarikh permulaan puasa atau awal Ramadhan mengikut kaedah berikut:


  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ke 29
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Isnin maka Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ke 21
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat maka Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ke 27
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Khamis maka Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ke 25
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Sabtu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ke 23
Berkata Syeikh Abu Hasan Syazili bahawa semenjak dia mula baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan Lailatul Qadar pada malam yang tepat mengikut kaedah di atas. Walaubagaimanapun, kita disarankan juga untuk menghidupkan malam-malam ganjil yang lain.

Berkata al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad, "Jika malam Jumaat bertepatan pada malam ganjil maka malam itu kemungkinan besar menjadi malam Lailatulqadar."

Di antara tanda malam Lailatulqadar ialah:
  • Malam itu sangat tenang, tidak panas dan tidak pula dingin
  • Pada esok siangnya, matahari bersinar tetapi tidak begitu panas
  • Malaikat Jibril menyalami mereka yang beribadat pada malam itu sehingga mereka terasa sangat sayu dan menangis teresak-esak secara tiba-tiba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan