Khamis, 15 Jun 2017

Mencari Lailatul Qadar

Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah berfirman:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

  1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur'an itu pada malam Lailatulqadar.
  2. Dan tahukah engkau apakah malam Lailatulqadar itu?
  3. Malam Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.
  4. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan.
  5. Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar.

(Surah al-Qadr: 1 - 5)

Al-Qadr bermaksud kemuliaan. Surah ini dinamakan al-Qadr kerana dalam surah ini Allah menjelaskan tentang kemuliaan dan kebesaran malam Lailatulqadar yang padanya al-Qur'an diturunkan.

Malam Lailatulqadar jatuh pada salah satu malam dari malam-malam sepuloh terakhir Ramadhan. Umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan lagi amalan ibadat pada malam-malam tersebut. Di antara kelebihan yang disebutkan ialah beribadat pada malam tersebut menyamai beribadat selama seribu bulan atau 83 tahun dan 4 bulan.

Bagaimana mencari malam Lailatulqadar? Menurut Imam Ghazali, Lailatul Qadar boleh ditemui berpandukan kepada tarikh permulaan puasa atau awal Ramadhan mengikut kaedah berikut:


  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ke 29
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Isnin maka Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ke 21
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat maka Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ke 27
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Khamis maka Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ke 25
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Sabtu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam yang ke 23
Berkata Syeikh Abu Hasan Syazili bahawa semenjak dia mula baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan Lailatul Qadar pada malam yang tepat mengikut kaedah di atas. Walaubagaimanapun, kita disarankan juga untuk menghidupkan malam-malam ganjil yang lain.

Berkata al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad, "Jika malam Jumaat bertepatan pada malam ganjil maka malam itu kemungkinan besar menjadi malam Lailatulqadar."

Di antara tanda malam Lailatulqadar ialah:
  • Malam itu sangat tenang, tidak panas dan tidak pula dingin
  • Pada esok siangnya, matahari bersinar tetapi tidak begitu panas
  • Malaikat Jibril menyalami mereka yang beribadat pada malam itu sehingga mereka terasa sangat sayu dan menangis teresak-esak secara tiba-tiba.

Isnin, 12 Jun 2017

Panduan beribadat di angkasa lepas

MALAYSIA bukan saja mencatat sejarah kerana berjaya menghantar seorang angkasawan negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Oktober ini tetapi sejarah juga dicatat apabila angkasawan berkenaan seorang Muslim dan Melayu pertama yang menjejakkan kaki ke stesen itu.


Oleh itu, tugas angkasawan negara bukan sekadar melakukan –- kerja eksperimentasi di ISS tetapi sebagai Muslim yang taat, beliau hendaklah tidak meninggalkan ibadah yang diwajibkan ke atasnya biarpun tidak berada di bumi.



Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Anan C Mohd berkata, ibadah adalah satu ketetapan ke atas setiap umat Islam yang merentasi keadaan, masa dan tempat di mana Islam memberi keutamaan kepada lima prinsip asas iaitu penjagaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda dalam menjamin kemakmuran hidup umatnya.



Dalam keadaan yang sukar seperti berada di angkasa lepas, Islam memberi kemudahan (rukhsah) bagi memastikan ibadah dapat terus dilaksana.



Jadi apabila Malaysia memutuskan menghantar angkasawan negara ke ISS, Jakim dengan kerjasama Agensi Angkasa Nasional (Angkasa) berasa bertanggungjawab menyediakan garis panduan untuk angkasawan beribadah sepanjang misinya bermula dari pelancarannya dengan Soyuz FG hinggalah ia kembali ke bumi.



Merungkaikan segala persoalan mengenai cara beribadah di angkasa lepas, sudah tentu cara pelaksanaan ibadah tidak sama kerana perbezaan besar antara bumi dan angkasa lepas.



“Garis panduan ini dibuat dengan teliti di mana ia mengambil kira pandangan semua tokoh ulama, pengalaman sebenar tokoh angkasawan dan pakar sains angkasa pada satu seminar khas yang diadakan di Hotel Equatorial Bangi beberapa bulan lalu.



“Pandangan panel kajian syariah dan jawatankuasa fatwa kebangsaan diperoleh, manakala untuk mendapatkan pandangan suasana sebenar, kerjasama angkasawan yang pernah ke angkasa lepas dan ISS banyak membantu dalam menyediakan garis panduan itu,” katanya ketika ditemui di Putrajaya.



Hasilnya Jakim menerbitkan sebuah buku berjudul ‘Pelaksanaan Ibadah Di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS)’ yang memberi perincian mengenai cara beristinjakmengangkat hadas kecil dan hadas besarmenentukan waktu solatmenentukan kiblatmenentukan waktu puasa dan menguruskan jenazah.





Rukhsah juga mengambil kira tahap keselamatan dalam kapal angkasa dan ISS yang tinggi dan keperluan pada masa itu contohnya tidak ada debu untuk bertayamum dan tidak ada air untuk mengangkat hadas kecil dan (berwuduk) dan hadas besar; dan menyucikan diri daripada hadas kecil dan besar.



Anan berkata, garis panduan hasil Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa mencatat sejarah kerana buat kali pertama di dunia, cara beribadah di angkasa lepas didokumentasikan.



Mengulas arah solat di angkasa lepas, katanya, antara syarat sah solat ialah mesti menghadap Kaabah. Bagaimanapun garis panduan memberi beberapa pilihan lain,iaitu unjuran Kaabah, bumi dan mana-mana arah.



"Mengikut tertib, solat mesti menghadap Kaabah. Jika tiada pilihan lain, angkasawan boleh menghadap mana-mana arah. Paling penting ialah solat mesti dilakukan," katanya.



Anan berkata, semua pihak tahu bahawa kapal angkasa mengelilingi bumi atau mengorbit bumi pada setiap 90 minit sebanyak 16 kali sehari. Jika 16 peristiwa siang dan malam berlaku sehari, jumlah solat adalah sebanyak 80 waktu.



"Dalam satu pusingan, waktu siang adalah 45 minit dan malam juga 45 minit. Tempoh itu perlu dibahagikan kepada lima waktu solat. Jika tidak diikuti dengan betul, waktu subuh hanya seminit," katanya.



Bagi menyelesaikan persoalan ini, katanya, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa solat di ISS dilakukan sama seperti di bumi, iaitu lima kali.



Alasan? Mengambil Kutub Utara sebagai contoh, katanya, jika mengikut keadaan di situ yang mengalami peristiwa siang selama enam bulan dan malam selama enam bulan, umat Islam hanya bersolat lima kali setahun.



Merujuk kepada institusi fekah Islam di Makkah, Rabitah al-Alamiyah al-Islami, katanya waktu solat di Kutub Utara diputuskan berdasarkan waktu kawasan paling hampir yang siang dan malam adalah dalam keadaan biasa.



Kaedah sama digunakan untuk menetapkan waktu solat di ISS, iaitu berdasarkan tempat paling hampir, tempat pelancaran kapal angkasa di Baikonur, Kazakhstan.



Dari segi cara solat, Anan memberitahu antara cara yang boleh dilakukan ialah mengikat tubuh pada bahagian tertentu kapal angkasa.



"Ini bukan luar biasa kerana angkasawan mempunyai tali pinggang yang diikat kepada kapal angkasa apabila tidak mahu terapung. Dalam keadaan statik itu, angkasawan boleh bersolat," katanya.



Masalah air terhad untuk berwuduk diselesaikan dengan bertayamum. Bagaimanapun, katanya tanah atau debu mustahil dibawa ke dalam kapal angkasa.



“Sehubungan itu, angkasawan dibolehkan menepuk dinding, kerusi atau cermin dalam kapal angkasa. Walaupun tiada debu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan cara itu kerana tiada pilihan," katanya.



Dalam isu berkaitan, katanya, istinjak untuk membersihkan hadas besar atau kecil dilakukan dengan menggunakan kertas tisu kering yang dibekalkan di ISS.



Sementara itu, jika jadual pelancaran kapal angkasa tidak berubah, iaitu 10 Oktober, satu lagi ibadah yang bakal dilakukan angkasawan negara ialah berpuasa.



Anan berkata, Jakim menggalakkan angkasawan negara berpuasa di ISS kerana pengalaman ini sukar dirasai pada masa depan dan pada masa sama, mengetahui perbezaan berbanding berpuasa di bumi.



“Jika memberatkan dan menimbulkan masalah, angkasawan seperti musafir boleh meninggalkan puasa, tetapi perlu menggantikan semula.



Seperti solat, katanya, waktu berbuka, bersahur dan berhari raya adalah mengikut waktu tempat kapal angkasa berlepas di Baikonur, Kazakhstan.

Sumber: www.harmoni-my.org 



HILAL SYAWAL 1438M / 2017M

Penglihatan hilal Syawal 1438H / 2017M bagi menentukan genapnya atau tidak bulan Ramadhan 1438H menjadi 29 atau 30 hari serta menentukan hari jatuhnya awal bulan Syawal 1438H / 2017M akan ditentukan pada petang Hari Sabtu, 29 Ramadhan 1438H bersamaan dengan 24 Jun 2017M.

Seperti rukyah hilal Ramadhan sebelum ini, hilal Syawal Insya-Allaah akan dirukyah di lima lokasi berikut:

  1. Menara DST, Bangunan ibu pejabat DST, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei-Muara
  2. Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei-Muara
  3. Tanjung Batu, Pekan Muara, Daerah Brunei-Muara
  4. Bukit Amboq, Daerah Tutong
  5. Bukit Lumut, Daerah Belait
Rombongan pegawai terdiri daripada Hakim-Hakim Syar'ie, Pegawai-Pegawai Mahkamah Syar'ie, Pegawai-Pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Mufti Kerajaan dan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan akan ditempatkan di lokasi-lokasi berkenaan.

Salaam Ramadhan Kareem.