MALAYSIA bukan saja mencatat sejarah
kerana berjaya menghantar seorang angkasawan negara ke Stesen
Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Oktober ini tetapi sejarah juga
dicatat apabila angkasawan berkenaan seorang Muslim dan Melayu pertama yang
menjejakkan kaki ke stesen itu.
Oleh itu, tugas angkasawan negara bukan sekadar melakukan –- kerja
eksperimentasi di ISS tetapi sebagai Muslim yang taat,
beliau hendaklah tidak meninggalkan ibadah yang diwajibkan ke atasnya biarpun
tidak berada di bumi.
Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Anan
C Mohd berkata, ibadah adalah satu ketetapan ke atas setiap umat Islam
yang merentasi keadaan, masa dan tempat di mana Islam memberi keutamaan kepada lima
prinsip asas iaitu penjagaan agama, jiwa, akal, keturunan
dan harta benda dalam menjamin kemakmuran hidup umatnya.
Dalam keadaan yang sukar seperti berada di angkasa lepas, Islam memberi
kemudahan (rukhsah) bagi memastikan ibadah dapat terus dilaksana.
Jadi apabila Malaysia memutuskan menghantar angkasawan negara ke ISS, Jakim dengan
kerjasama Agensi Angkasa Nasional (Angkasa) berasa
bertanggungjawab menyediakan garis panduan untuk angkasawan beribadah sepanjang
misinya bermula dari pelancarannya dengan Soyuz FG hinggalah ia kembali ke
bumi.
Merungkaikan segala persoalan mengenai cara beribadah di angkasa lepas, sudah
tentu cara pelaksanaan ibadah tidak sama kerana perbezaan besar antara bumi dan
angkasa lepas.
“Garis panduan ini dibuat dengan teliti di mana ia mengambil kira pandangan
semua tokoh ulama, pengalaman sebenar tokoh angkasawan dan pakar sains angkasa
pada satu seminar khas yang diadakan di Hotel Equatorial Bangi beberapa bulan
lalu.
“Pandangan panel kajian syariah dan jawatankuasa fatwa kebangsaan diperoleh,
manakala untuk mendapatkan pandangan suasana sebenar, kerjasama angkasawan yang
pernah ke angkasa lepas dan ISS banyak membantu dalam menyediakan garis panduan
itu,” katanya ketika ditemui di Putrajaya.
Hasilnya Jakim menerbitkan sebuah buku berjudul ‘Pelaksanaan Ibadah Di Stesen
Angkasa Antarabangsa (ISS)’ yang memberi perincian mengenai cara beristinjak, mengangkat
hadas kecil dan hadas besar, menentukan
waktu solat, menentukan kiblat, menentukan
waktu puasa dan menguruskan jenazah.
Rukhsah juga mengambil kira tahap keselamatan dalam kapal angkasa dan ISS yang
tinggi dan keperluan pada masa itu contohnya tidak ada debu untuk bertayamum
dan tidak ada air untuk mengangkat hadas kecil dan (berwuduk) dan hadas besar; dan menyucikan diri daripada hadas kecil dan besar.
Anan berkata, garis panduan hasil Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa
mencatat sejarah kerana buat kali pertama di dunia, cara beribadah di angkasa
lepas didokumentasikan.
Mengulas arah solat di angkasa lepas, katanya, antara syarat sah solat ialah
mesti menghadap Kaabah. Bagaimanapun garis panduan memberi beberapa pilihan
lain,iaitu unjuran Kaabah, bumi dan mana-mana arah.
"Mengikut tertib, solat mesti menghadap Kaabah. Jika tiada pilihan lain,
angkasawan boleh menghadap mana-mana arah. Paling penting ialah solat
mesti dilakukan," katanya.
Anan berkata, semua pihak tahu bahawa kapal angkasa mengelilingi bumi atau
mengorbit bumi pada setiap 90 minit sebanyak 16 kali sehari.
Jika 16 peristiwa siang dan malam berlaku sehari, jumlah solat adalah sebanyak 80
waktu.
"Dalam satu pusingan, waktu siang adalah 45 minit dan malam juga 45 minit.
Tempoh itu perlu dibahagikan kepada lima waktu solat. Jika tidak diikuti dengan betul, waktu subuh hanya seminit," katanya.
Bagi menyelesaikan persoalan ini, katanya, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
memutuskan bahawa solat di ISS dilakukan sama seperti di bumi, iaitu lima kali.
Alasan? Mengambil Kutub Utara sebagai contoh, katanya, jika mengikut keadaan di
situ yang mengalami peristiwa siang selama enam bulan dan malam selama enam bulan, umat Islam hanya bersolat lima kali setahun.
Merujuk kepada institusi fekah Islam di Makkah, Rabitah al-Alamiyah al-Islami,
katanya waktu solat di Kutub Utara diputuskan berdasarkan waktu kawasan paling
hampir yang siang dan malam adalah dalam keadaan biasa.
Kaedah sama digunakan untuk menetapkan waktu solat di ISS, iaitu berdasarkan
tempat paling hampir, tempat pelancaran kapal angkasa di Baikonur,
Kazakhstan.
Dari segi cara solat, Anan memberitahu antara cara yang boleh dilakukan ialah
mengikat tubuh pada bahagian tertentu kapal angkasa.
"Ini bukan luar biasa kerana angkasawan mempunyai tali pinggang yang
diikat kepada kapal angkasa apabila tidak mahu terapung. Dalam keadaan statik
itu, angkasawan boleh bersolat," katanya.
Masalah air terhad untuk berwuduk diselesaikan dengan bertayamum. Bagaimanapun,
katanya tanah atau debu mustahil dibawa ke dalam kapal angkasa.
“Sehubungan itu, angkasawan dibolehkan menepuk dinding, kerusi atau cermin
dalam kapal angkasa. Walaupun tiada debu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan cara
itu kerana tiada pilihan," katanya.
Dalam isu berkaitan, katanya, istinjak untuk membersihkan hadas besar atau
kecil dilakukan dengan menggunakan kertas tisu kering yang dibekalkan di ISS.
Sementara itu, jika jadual pelancaran kapal angkasa tidak berubah, iaitu 10
Oktober, satu lagi ibadah yang bakal dilakukan angkasawan negara ialah
berpuasa.
Anan berkata, Jakim menggalakkan angkasawan negara berpuasa di ISS kerana
pengalaman ini sukar dirasai pada masa depan dan pada masa sama, mengetahui
perbezaan berbanding berpuasa di bumi.
“Jika memberatkan dan menimbulkan masalah, angkasawan seperti musafir boleh
meninggalkan puasa, tetapi perlu menggantikan semula.
Seperti solat, katanya, waktu berbuka, bersahur dan berhari raya adalah
mengikut waktu tempat kapal angkasa berlepas di Baikonur, Kazakhstan.
Sumber: www.harmoni-my.org