Oleh Rohaniza Idris
AWAL bulan Febuari lalu, fenomena dunia tanpa bayang dilaporkan berlaku di Bogor
dan Jakarta, Indonesia. Dalam kejadian itu, tepat jam 12 tengah hari
bagi tempoh dua hingga lima minit, orang ramai tidak dapat melihat
bayang-bayang sendiri di bawah sinar matahari kerana ia berada tepat
atas kepala.
Fenomena itu mendapat liputan kebanyakan akhbar di republik
berkenaan dan beberapa negara Asia yang lain. Banyak persoalan
ditimbulkan hasil liputan berkenaan dan ramai yang ingin mengetahui
mengenai fenomena yang jarang didengari itu.
Ketua Unit Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mohd Zamri Shah
Mastor berkata, fenomena tanpa bayang sebenarnya berlaku setiap hari
sepanjang tahun dan ia bukannya satu kejadian yang luar biasa atau
pelik.
Mohd Zamri berkata, kejadian itu tidak dianggap sebagai fenomena
astronomi, namun ia fenomena yang disukai dan sangat dekat dengan orang
ramai.
“Fenomena hari tanpa bayang dianggap menarik apabila ia berlaku
ketika matahari melintasi garisan khatulistiwa seperti yang berlaku di
Bogor Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini. Selain itu, fenomena ini juga
turut dianggap istimewa ketika matahari melintasi garisan Sartan di
Hemisfera Utara dan garisan Jadi di Hemisfera Selatan bumi,” katanya.
Menjelas lanjut, Mohd Zamri berkata, kejadian itu adalah fenomena
yang biasa berlaku iaitu sebanyak dua kali setiap tahun pada suatu garis
lintang tertentu di antara garisan Sartan dan garisan Jadi. Ini kerana
pada ketika itu, matahari berada tepat di atas garisan lintang
berkenaan.
“Malaysia akan turut mengalami fenomena hari tanpa bayang tepat
waktu tengahari di beberapa tempat mengikut kedudukan garisan-garisan
lintang tertentu yang melintasi negara bermula esok hingga Khamis ini.
Ia akan berulang berlaku semula pada 28 September hingga 2 Oktober
depan,” katanya.
Mohd Zamri menjelaskan fenomena itu juga dikenali sebagai peristiwa
Ekuinoks apabila Matahari melintasi tepat garisan Khatulistiwa ketika
ia bergerak dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara Bumi. Kejadian ini
berlaku setiap Mac dan matahari juga akan melintasi Khatulistiwa dari
Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan Bumi setiap September pula.
"Tiada yang istimewa pada hari berkenaan selain matahari berada
tepat di atas kepala pada waktu tengahari. Ini menyebabkan kita tidak
nampak bayang-bayang kita jika berdiri di tengah panas." katanya.
Fenomena berkenaan juga berlaku setiap hari tetapi di lokasi
berbeza mengikut garis lintang kedudukan pergerakan matahari. Ini
bermakna setiap negara yang berada di antara garisan Sartan dan Jadi,
termasuk Khatulistiwa, akan merasai fenomena berkenaan.
Fenomena berkenaan juga berlaku dalam tempoh yang singkat iaitu dua
hingga lima minit serta tidak memberi kesan langsung kepada penduduk
bumi seperti kejadian gerhana bulan dan matahari.
Ahli falak Islam yang masyhur, Imam al-Khawarizmi berpendapat, setiap dua jisim yang berdekatan mewujudkan
kesan tarik menarik antara satu sama lain, sama ada kuat atau lemah
tarikan itu. Disebabkan ketika berlakunya gerhana matahari, bulan berada
hampir dengan bumi, pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan
terhadap bumi yang mengakibatkan berlakunya perubahan paras air laut dan
mungkin angin yang memberi kesan kepada cuaca.
Gerhana bulan dan matahari juga boleh membawa perubahan kepada
tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan benda hidup di dunia ini. Contohnya,
jika berlaku gerhana matahari di mana waktu siang tiba-tiba bertukar
menjadi gelap seperti malam, mungkin haiwan seperti burung akan keliru
dan menyebabkan ia terbang pulang ke sarang atau tidak berhaluan.
Berbeza dengan kedua-dua gerhana berkenaan, fenomena tanpa bayang
hanya kejadian tiada bayang kelihatan pada tepat waktu tengahari di
sesuatu tempat ketika matahari melintasi garisan lintang kawasan
berkenaan. Selepas daripada tarikh itu, bayangan mereka akan kelihatan
semula jika dilihat di atas tanah pada tepat waktu tengahari kerana
kedudukan matahari yang semakin beralih ke garis lintang sama ada arah
utara atau pun mungkin arah selatan.
Semua bandar di dunia yang berada di antara garisan lintang 23.5
darjah Utara (garisan Sartan) dan garisan lintang 23.5 darjah Selatan
(garisan Jadi) akan mengalami keadaan itu dan dalam tempoh setahun,
hemisfera selatan terlebih dulu mengalaminya seperti di Australia pada
bulan Disember hingga Januari.
Sebelum ini, tempat popular yang menjadi tumpuan ialah bandar
Pontianak, Kalimantan Barat, kerana kedudukannya betul-betul di garisan
Khatulistiwa. Bandar itu akan mengalami fenomena itu dua kali setiap
tahun iaitu pada setiap 21 Mac dan 23 September.
Fenomena sama yang berlaku di Makkah pada 28 Mei dan 15 Julai
setiap tahun, dimanfaatkan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk
membetulkan arah kiblat masing-masing berdasarkan kepada unjuran arah
bayang matahari di kawasan setempat masing-masing pada waktu itu akan
menghala Makkah.
(Artikel dipetik dari Berita Harian Online dengan sedikit ubahsuai)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan