BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 Oktober. - Pengumuman
mengenai hasil merukyah awal bulan Zulhijjah 1434 Hijriah dari
tempat-tempat yang ditentukan di seluruh negara diumumkan secara
langsung ke seluruh negara melalui Radio Televisyen Brunei.
Oleh itu, umat Islam di negara ini akan
menyambut Hari Raya Aidiladha pada Hari Rabu, 10 Zulhijjah 1434 Hijriah
bersamaan 16 Oktober 2013 Masihi berikutan anak bulan Zulhijjah 1434
Hijriah tidak sabit kelihatan setelah dilakukan rukyah lewat petang
tadi.
Anak bulan Zulhijjah telah digenapkan
menjadi 30 hari dan permulaan awal bulan Zulhijjah 1434 Hijriah telah
jatuh pada Hari Isnin, 1 Zulhijjah 1434 Hijriah bersamaan 7 Oktober 2013
Masihi.
Sehubungan itu, Sembahyang Sunat Hari
Raya Aidiladha akan diadakan di seluruh masjid, surau-surau dan
balai-balai ibadat di semua daerah bermula pada jam 7.30 pagi dan
mengerjakan ibadah qurban sejurus selepas Solat Sunat Hari Raya
Aidiladha dan hari-hari Tasyriq 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1434 Hijriah.
Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal
Ugama (KHEU) juga mengadakan Majlis Keugamaan bagi Menunggu Hasil
Merukyah Awal Bulan Zulhijjah 1434 Hijriah yang berlangsung di Dewan
Teratai, Tingkat 5, kementerian berkenaan, di sini.
Hadir bagi menyerikan majlis tersebut,
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr.
Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat
suci Al-Qur'an oleh Awang Md. Fikri bin Haji Metussin dan diikuti
dengan persembahan Tausyeh yang dibawakan oleh Belia Masjid Kampung
Sungai Hanching.
Doa Selamat pula dibacakan oleh Pegawai
dari Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), KHEU, Pengiran Haji Md. Salleh bin
Pengiran Haji Zakaria.
Sementara itu azan Fardu Maghrib
dikumandangkan oleh Pegawai dari JHEM, KHEU, Awang Haji Isa bin Haji
Saban dan seterusnya Solat Fardu Maghrib Berjemaah diimamkan oleh Imam
Masjid Mohamed Bolkiah Kampung Serusop, Awang Haji Muslim bin Haji Abdul
Razak.
Juga hadir menyerikan majlis itu ialah
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji
Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Setiausaha Tetap, Pemangku Timbalan
Setiausaha Tetap dan para jemputan khas serta Pegawai-Pegawai Kanan
kementerian tersebut.
MENTERI Hal Ehwal
Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin
Pengiran Haji Abdul Rahman juga hadir pada majlis keugamaan bagi
Menunggu Hasil Merukyah Awal Bulan Zulhijjah 1434 Hijiriah.
(Foto: Ihsan Kementerian Hal Ehwal Ugama)
- Pelita Brunei Online. Ahad, 6 Oktober 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan