Isnin, 25 Jun 2012

Lintasan planet Zuhrah esok



Planet Zuhrah berada antara Bumi dan matahari.




 Grafik lintasan planet Zuhrah depan Matahari waktu Brunei (rajah ini diambil dari perisian Starry Night).


BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun - Planet Zuhrah yang merupakan planet kedua terdekat dengan matahari dan kedua terkecil dalam definisi Sistem Suria terbaru, akan berada tepat di antara Bumi dan Matahari pada Rabu (6 Jun) dan akan kelihatan melakukan lintasan di hadapan cakera matahari.

Fenomena unik itu yang jarang-jarang berlaku itu dapat dilihat dari Bumi, secara global (seluruh dunia) termasuk di Brunei Darussalam, menurut Persatuan Astronomi Antarabangsa (International Astronomical Union - IAU).

Di negara ini, ia akan dapat dilihat bermula terbit matahari dan berakhir waktu tengah hari. Jabatan Ukur dalam satu kenyataan berkata, kemerengan satah (plane) orbit Zuhrah bersudut 3.4° berbanding dengan satah orbit Bumi.

Kedua planet ini akan berada pada satah yang sama hanya pada bulan Jun dan Disember. Walau bagaimanapun, lintasan Zuhrah depan matahari ini hanya akan dapat dilihat dari bumi, jika matahari juga berada pada satah yang sama pada bulan Jun atau Disember dan ini jarang-jarang terjadi kerana perbezaan satah ini.

Menurut kenyataan itu lagi, lintasan planet Zuhrah di depan cekra matahari (Transit of Planet Venus in front of the Sun Disc) kali terakhir berlaku dan dapat disaksikan dari Brunei ialah pada tahun 2004.

Ia hanya dijangka berlaku lagi melebihi satu abad yang akan datang iaitu bulan Disember 2117 dan Disember 2125. Dengan demikian ianya mungkin merupakan kesempatan terakhir kita melihat kejadian ini dalam umur kita.

Kenyataan itu turut memberi peringatan mengenai perkara yang patut dijauhi jika hendak menggunakan alat seperti teleskop atau teropong jenis optik (menggunakan kaca atau cermin) sambil menasihatkan orang ramai supaya menggunakan alat penapis cahaya matahari yang khas pada depan cermin teleskop atau teropong pembesar.

Jangan sekali-kali melihat matahari tanpa penapis cahaya, kerana ianya membahayakan penglihatan dan boleh menyebabkan buta.

Pegawai dan kakitangan Bahagian Geodetik, Jabatan Ukur akan membuat cerapan terhadap lintasan planet Zuhrah itu di Pusat Tingkatan Enam, Katok.

Sementara itu, petang ini, fenomena gerhana separa Bulan telah berlaku bermula jam 4:48 petang sehingga 9:18 malam. Gerhana merupakan suatu kejadian memperlihatkan keagungan dan kebesaran Allah Subhanahu wa Ta'ala yang berlaku pada matahari dan bulan sebagai tanda atau bukti kekuasaanNya seperti terjadinya siang dan malam.

Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid dalam Khutbah Khas mengenai fenomena gerhana bulan yang berlaku malam ini berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menganjurkan supaya umat Islam supaya melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar apabila berlakunya gerhana.

Menurut beliau, apabila berlaku gerhana umat Islam seharusnya segera bertaubat atas segala dosa yang dilakukan serta menghindari daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Berikutan fenomena tersebut seluruh masjid, surau dan balai ibadat di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan sembahyang Sunat Gerhana Bulan dan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, sembahyang sunat Gerhana Bulan berjemaah telah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Hamidon.

- Media Permata. Selasa - 5 Jun 2012.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan