Oleh Hasrulraizan
Haji Julaihi Haji Lamat bercakap mengenai lintasan Planet Zuhrah.
Aksi kalangan yang tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena itu.
Pelajar-pelajar Pusat Tingkatan Enam Katok tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena yang hanya akan berlaku lagi pada 2117 nanti iaitu lintasan Zuhrah di antara Bumi dan Matahari kelmarin. - Gambar oleh Hasrulraizan
Planet Zuhrah (tompok hitam), yang merupakan planet kedua terdekat dengan matahari dan kedua terkecil dalam definisi Sistem Suria terbaru kelihatan melakukan lintasan di hadapan cakera matahari kelmarin. Fenomena yang jarang-jarang berlaku itu telah menarik minat para ahli astronomi serata dunia dan orang ramai untuk menyaksikan kejadian yang mungkin merupakan kesempatan terakhir kita melihatnya sepanjang hayat. - AFP
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun - Satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan dalam hidup kerana berpeluang menyaksikan lintasan Planet Zuhrah di depan cakera Matahari ketika berada tepat di antara Bumi dan Matahari di negara ini pada pagi hingga tengah hari ini, tatkala menurut perkiraan pakar astronomi, fenomena seumpamanya hanya akan berlaku pada Disember 2117 dan Disember 2125.
Zuhrah mula dapat dilihat melintasi depan cakera Matahari dari Bumi di Negara ini pada pukul 6.13 pagi dan terus dapat dilihat sehinggalah ia mula keluar dari kawasan antara Bumi dan Matahari pada pukul 12.45 tengah hari ini.
Memandangkan melihat matahari tanpa penapis cahaya boleh membahayakan mata dan boleh menyebabkan kebutaan, satu-satunya pilihan terbaik bagi rakyat dan penduduk di negara ini untuk tidak ketinggalan menyaksikan fenomena unik yang kebetulan berlaku dalam jangka hayat manusia ketika ini berkenaan ialah mencerap bersama Bahagian Geodetik, Jabatan Ukur di Pusat Tingkatan Enam (PTE Katok).
Bahagian berkenaan telah menyediakan tiga teleskop besar jenis optik yang dipasang alat penapis cahaya matahari khusus dengan dua daripadanya berjenama Celestron dan satu lagi Meade LX200GPS, sambil beberapa pegawai dan kakitangannya berada dekat dengan teleskop-teleskop berkenaan, bersedia menjawab pertanyaan orang ramai mengenai fenomena unik itu.
Sementara itu Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) menyediakan sebuah teleskop kecil yang disambungkan kepada kamera DSLR yang membolehkan orang ramai menyaksikan fenomena lintasan berkenaan melalui skrin kamera berkenaan.
Bagi mereka yang ingin melihat fenomena unik yang jarang-jarang berlaku dapat dilihat dari Bumi itu dalam bentuk yang lebih besar, Bahagian Geodetik turut menyambungkan salah satu teleskop besarnya ke Projektor (OHP) yang memaparkan imej lintasan itu ke atas dinding di salah sebuah bilik persidangan di PTE Katok berkenaan.
Menariknya lagi, orang ramai turut berpeluang mendengarkan penerangan lebih lengkap mengenai fenomena berkenaan dari Ketua Unit Astronomi, Hala Kiblat, Hidrografi, Jabatan Ukur, Haji Julaihi Haji Lamat.
Antara lain, beliau menjelaskan bahawa fenomena itu memberi peluang berharga buat para pakar astronomi untuk membuat perkiraan lebih tepat mengenai planet khususnya Planet Zuhrah berkenaan.
Lintasan Zuhrah berkenaan berlaku dalam corak yang berulang setiap 243 tahun, dengan transit berlaku dua kali dalam tempoh lapan tahun, dan dipisahkan oleh tempoh masa yang agak panjang iaitu 121.5 dan 105.5 tahun.
Kali terakhir ia boleh dilihat di Negara ini adalah pada lapan tahun yang lalu iaitu 2004, dan hanya akan berlaku dan boleh dilihat dari Negara ini pada Disember 2117 nanti iaitu lebih kurang 105.5 tahun dari sekarang.