Mahasiswa-Mahasiswi Diploma Perguruan Ugama Lepas Ijazah [Kumpulan 2 (I)] (Dengan kerjasama daripada Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam)
Pada:
06 Jamadil Awal 1431H / 21 April 2010M(Pemangku Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)
Petikan Khutbah Jumaat (30 Sya’baan 1430H bersamaan 21 Ogos 2009)
Sebelum kita memulakan ibadat puasa, pada kelazimannya kita di Negara Brunei Darussalam akan terlebih dahulu merukyah (melihat anak bulan Ramadhan). Begitu juga dengan penentuan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.
Dalam hal ini, terdapat di kalangan para ahli astronomi moden yang mempertikaikan bahawa permulaan puasa dan Hari Raya boleh ditetapkan dengan cara hisab atau hisab falak sahaja kerana pengetahuan sains dan teknologi telah berada di puncak kemajuan dan kegemilangan. Sebenarnya pendapat seperti ini bukanlah pendapat yang baru bahkan telah pernah disuarakan sejak zaman Ibnu Qutaibah, Abu Al-Abbas bin suraij dan Matraf. Dalam pada itu telah banyak persidangan mengenainya diadakan, akan tetapi amalan negara Islam keseluruhannya masih tetap berdasarkan rukyah (melihat anak bulan). Amalan merukyah anak bulan sudah menjadi syariat yang dianggap penting di kalangan negara-negara Islam. Ini menyebabkan sambutan awal Ramadhan dan Hari Raya akan berlaku pada hari yang berlainan di kalangan negara-negara Islam. Ini adalah disebabkan anak bulan tidak kelihatan pada suatu tempat pada hari merukyah itu, walhal di tempat lain pula ia kelihatan.
Apa yang mendukacitakan, jika pihak yang dipertanggungjawabkan untuk merukyah anak bulan tidak berjaya melihatnya terutama apabila merukyah anak bulan Syawal, terdapat segelintir masyarakat kitani yang mempertikaikan serta tidak berpuas hati dengan hasil keputusan rukyah tersebut sehingga timbul berbagai-bagai fitnah seperti mengatakan teropong yang digunakan itu rosak, malah ada juga yang berani mengatakan orang yang merukyah itu tidak jelas penglihatannya. Lebih buruk lagi terdapat juga orang yang cuba menghasut orang lain supaya tidak lagi berpuasa pada 30 Ramadhan dengan alasan negara-negara jiran telahpun berhari raya pada hari tersebut.
Sedarlah wahai kaum Muslimin, perkara seumpama ini sepatutnya tidak berlaku kerana sebagai rakyat dan penduduk yang tinggal dalam sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai ketua negara iaitu raja, kita hendaklah akur dan patuh dengan ketetapan dan titah perkenan raja sebagai Ulil Amri. Bukankah Allah Subhanahu Wata’ala memerintahkan hamba-Nya supaya mentaati Ulil Amri, sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisaa ayat 59, tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Kitab Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya.”
Rukyah Anak Bulan (Al-Hilal)
Apakah hilal? Hilal ialah fasa bulan yang terawal boleh dilihat selepas ijtimak yang menunjukkan sebahagian kecil dari permukaan bulan yang bercahaya. Ia kelihatan seperti satu lengkuk cahaya halus seperti sabit.
Penentuan awal bulan secara tradisinya adalah seperti yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah SAW iaitu dengan cara rukyah (melihat) hilal. Di dalam taqwim Islam, hilal menjadi panduan menandakan bermulanya bulan baru hijrah. Hilal sebagai tanda waktu telah disebut di dalam Al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“Mereka bertanya kepada engkau tentang darihal hilal. Katakanlah hilal itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) haji”
(Surah al-Baqarah : Ayat 189)
Perkara ini juga ada dijelaskan di dalam hadis iaitu apabila umat Islam hendak menentukan awal Ramadhan seperti hadis yang bermaksud:
“Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kamu kerana melihat hilal. Bila hilal tertutup atasmu, maka sempurnakanlah bilangan Sya’baan tiga puluh hari”.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Lamanya hilal boleh dilihat di atas ufuk bergantung kepada beza masa terbenam di antara matahari dengan bulan. Walaubagaimanapun keadaan ini bergantung kepada keadaan cuaca seperti hujan ataupun mendung, mungkin dalam tempoh tersebut hilal hanya boleh dilihat beberapa minit sahaja. Tetapi sekiranya pada petang tersebut bulan telah terlebih dahulu ghurub dari matahari maka sudah pasti hilal tidak akan wujud di atas ufuk.
Begitujuga halnya, sekiranya bulan itu ada di atas tetapi tidak mungkin ia dapat dilihat disebabkan sifatnya tertentu maka mulai Maghrib itu dijadikan sebagai hari yang ke 30 Syaaban.
Bagi melakukan amalan rukyah dengan lebih teliti perlulah terlebih dahulu diketahui data-data matahari dan bulan pada hari ke 29 ketika rukyah.
Data-data yang perlu diketahui ialah bila ijtimak (kedudukan bumi, bulan dan matahari berada pada satu satah meridian yang sama), umur hilal, altitude (tinggi) dan jarak lengkung hilal. (Dr. Haji Kasim bin Bahali, 2006)
PENENTUAN ARAH QIBLAT
Terdapat pelbagai teknik yang boleh digunakan untuk menentukan hala qiblat, dari kaedah tradisional hinggalah kaedah moden.
Ada juga kesempatan yang boleh diambil ke atas kedudukan jasad-jasad samawi. Ini termasuklah penggunaan bintang al-Qutbi (Polaris), fasa-fasa bulan, matahari terbenam, lintasan matahari dan juga penjajaran tiga bintang iaitu An-Nitak, An-Nilam dan Mintaka di dalam buruj Al-Babadur (Orion). Perkembangan pesat yang berlaku di dalam bidang astronomi, geografi dan matematik telah menjadikan urusan penentuan hala qiblat sekarang sebagai satu perhitungan trigonometri yang mudah.
Terkini, peralatan moden seperti kompas prismatic, teodolit, gyroscope dan GPS telah semakin mengambil tempat.
Kaedah Tradisional Menentukan Arah Qiblat
1. Matahari istiwa atas Kaabah
Iaitu ketika kejadian matahari istiwa (rembang) di atas Kaabah, bayang objek tegak di seluruh dunia akan memperbetulkan arah qiblat. Panduan menentukan arah qiblat dari satu tempat pada tarikh dan masa yang ditentukan di atas: Pacakkan satu tiang pada kawasan yang hendak disemak arah qiblatnya. Pastikan tiang berkenaan tegak dan lurus. Bagi menyemak ketegakkannya, boleh diletak sebarang pemberat yang diikat pada hujung tiang itu. Tempat yang dipilih untuk tujuan ini tidak terlindung daripada sinaran matahari. Oleh kerana matahari berada di langit barat, arah qiblat ialah bayang-bayang yang menghadap ke barat.
2. Kaedah buruj bintang
Buruj bintang ialah sekumpulan bintang yang berada di suatu kawasan langit serta mempunyai bentuk hampir sama dan kelihatan berdekatan antara satu sama lain. Langit dibahagikan kepada 88 kawasan buruj bintang. Bintang yang berada pada satu kawasan sama adalah dalam satu buruj. Sesuatu buruj bintang mengikut bentuk yang mudah dikenalpasti seperti haiwan dan geometri. Dengan mengetahui bentuk buruj bintang tertentu, arah utara dan arah qiblat dari sesuatu tempat boleh ditentukan. Menggunakan kedudukan buruj al-Babadur (Orion). Pada buruj itu ada tiga bintang sederet iaitu An-Nitak, An-Nilam dan Mintaka. Arah qiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah tiga bintang berderet berkenaan ke arah barat.
3. Kaedah matahari terbenam
Secara umum, jika kita merujuk kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan arah qiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari terbenam (sebagai contoh: di Malaysia) akan berubah dari azimut 235 darjah hingga 295 darjah. Ia boleh digunakan sebagai satu daripada langkah berijtihad. Arah matahari terbenam boleh digunakan jika mengetahui perbezaan sudut antara arah matahari dengan arah qiblat. Dalam keadaan tertentu, arah matahari jatuh boleh diyakini sebagai arah qiblat, sekalipun tidak tepat. Mengikut Mazhab Syafi’ee, walaupun tidak tepat tetapi darjahnya tidak melebihi 45 darjah kiri dan kanan maka sah solatnya.
Kaedah Moden Menentukan Arah Qiblat
1. Pengiraan arah Qiblat
Hitungan adalah berdasarkan kepada konsep arah di sepanjang bulatan gedang bumi (great circle). Membabitkan model matematik sfera yang mengandungi koordinat geografi tempatan dan geografi rujukan (Kaabah).
2. Kompas Prismatik
Penandaan arah Qiblat dengan kompas banyak diamalkan di kalangan masyarakat Islam masa kini. Arah yang ditunjukkan oleh sesuatu kompas adalah arah yang merujuk ke arah utara. Arah utara magnet pula tidak semestinya bersamaan dengan arah utara benar. Perbezaan arah utara ini dipanggil sebagai sudut serong magnet. Antara masalah yang boleh timbul menggunakan kompas ialah tarikan graviti tempatan yang mana ia terkesan dari kewujudan bahan logam atau arus eletrik di sekeliling kompas yang digunakan. Boleh digunakan sebagai alat alternatif jika alat yang lebih sesuai tidak ada.
3. Penggunaan Teodolit
Teodolit ialah antara alat termoden yang diguna pakai oleh kebanyakan juru ukur dan pihak yang melakukan kerja menentukan arah Qiblat. Alat ini digunakan untuk mengukur bacaan sudut secara mendatar dan menegak. Ia memberi kejituan bacaan tinggi dan tepat. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Kiblat)
Rujukan:
Brosur Bengkel dan Pameran Rukyah Anak Bulan dan Penentuan Arah Qiblat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan