Ahad, 2 Oktober 2011

Ilmu falak Islam diiktiraf oleh ahli sains dunia, digelar ratu sains: Daud

Posted on September 29, 2011, Thursday

BINTULU: Masyarakat Islam perlu menyedari ilmu falak yang dimiliki oleh mereka sehingga kini telah diiktiraf oleh ahli sains dunia sehingga digelar sebagai ratu sains.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, antara ilmu itu adalah berkaitan kajian kedudukan, peredaran, pergerakan dan fenomena jasad-jasad samawi seperti bintang-bintang, matahari, planet-planet dan bulan untuk tujuan tertentu.

Beliau berkata, sejarah Islam juga menunjukkan kemajuan astronomi telah menyumbang kepada perkembangan kegemilangan tamadun Islam.

“Mengimbas kembali sejarah tamadun Islam yang berkaitan dengan ilmu falak, jelas sekali para cendekiawan Islam telah memberikan garis panduan yang berteraskan Al-Quran dan sunah dalam menetapkan penentuan arah kiblat, waktu solat dan taqwim hijrah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Rasmi Kursus Falak Syarie 2011 anjuran Pejabat Mufti Negeri Sarawak dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu, Lembaga Pelabuhan Bintulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Sarawak di Auditorium Lembaga Pelabuhan Bintulu semalam.

Daud berkata, antara intelek falak Islam yang mengkaji tentang geografi dan geologi ialah Al-Biruni, kajian qamari dan kenampakan anak bulan pula ialah Al-Khawarizmi dan Ibnu Sina pula sebagai pakar dalam astro fizik.

Justeru katanya, dengan kehebatan yang terdapat pada intelektual falak ini, maka terciptalah alatan ukur moden seperti kompas, teodolite, teleskop dan sebagainya.

Katanya, hasil kajian dan sumbangan pihak terlibat juga telah membuka peluang untuk masyarakat lebih maju, mengamal dan meneruskan hasil kajian yang diperolehi.

Beliau menasihati umat Islam untuk terus menjaga dan mengamalkan ilmu falak yang begitu unik itu supaya dapat diguna pakai oleh semua lapisan masyarakat khususnya di kalangan umat Islam sendiri.

Begitupun beliau mengingatkan masyarakat Islam agar tidak mudah alpa serta melupakan khazanah ilmu Islam khasnya dalam astronomi falak yang banyak memberi sumbangan dan manfaat terhadap kejayaan dalam kehidupan manusia.

“Sejarah Islam juga jelas menunjukkan kemajuan astronomi telah banyak menyumbang ke arah perkembangan dan kegemilangan tamadun Islam,” ujarnya.

Terdahulu seramai 100 peserta terdiri daripada pegawai `focal’ kiblat dari setiap bahagian di negeri ini, kakitangan kerajaan dan swasta, agensi Islam dan ahli jawatankuasa masjid dan surau menghadiri kursus dua hari itu.

Kursus tersebut antara lain bertujuan memberi peluang kepada peserta mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu falak yang lebih praktikal dan bermanfaat di samping mendedahkan secara lebih ilmiah kepada peserta mengenai ilmu falak syarie.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Mufti Negeri Sarawak Ustaz Kipli Yassin, Pengarah JAIS Abang Shamsuddin Abang Seruji dan Residen Bahagian Bintulu Ismail Mohd Hanis.

The Borneo Post Online.


Khamis, 22 September 2011

Betapa kerdilnya kita

 Planet Bumi dibandingkan dengan planet yang bersaiz sama atau yang lebih kecil


Planet Bumi dibandingkan dengan planet yang lebih besar. Planet Jupiter adalah yang terbesar di dalam Sistem Suria (Solar System) kita.


Bandingkan Jupiter dengan matahari kita
 

Bandingkan pula matahari dalam sistem kita dengan sistem cakerawala yang berdekatan.  Jika dibuat perbandingan (pada gambar asal, gambar di atas sudah diperkecilkan), Jika Jupiter sebesar satu piksel, bumi pula langsung tidak kelihatan lagi.


Antares adalah bintang yang ke 15 paling terang di angkasa.  Jaraknya lebih 1000 tahun cahaya dari bumi. Pada gambar di atas, matahari kita hanya sebesar 1 piksel.

Jesteru, pernahkah kita berfikir: Siapakah kita?  Apakah tujuan hidup kita?  Apakah yang membuat kita merasa hidup kita berharga?  Apakah kita mampu mendabik dada dan berjalan angkuh di bumi ini sedang kita terlalu kerdil berbanding Allah, Tuhan Sekelian Alam?


Planet Mars semasa Ramadhan 1431H / Ogos 2010

Planet Mars menjadi sangat bercahaya di langit malam dalam bulan Ogos 2010.  Saiznya seakan bulan penuh jika dilihat dengan pandangan mata kasar.  Fenomena ini terjadi pada 27 Ogos 2010 pada jam 12:30 tengahmalam.  Ini juga membuat penduduk bumi melihat sebanyak 2 bulan di langit.  Bagi sesetengah negara Islam, tarikh 27 Ogos 2010 adalah bersamaan dengan tarikh 17 Ramadhan 1431 Hijrah iaitu malam Nuzul Al-Quran.  Planet Mars diramal akan mendekati bumi lagi pada tahun 2287 Masihi.

Sabtu, 17 September 2011

Sinar Matahari dan Cahaya Bulan

Dari Surah Yunus (10), Ayat 5, Allah Subhanahu Wa Taala berfirman yang mafhumnya:

"Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkanNya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanannya, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan.  Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak.  Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaranNya) kepada orang-orang yang mengetahui."


Selasa, 13 September 2011

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Assalaamu 'alaikum wa Rahmatullahi Wa Barakaatuh!

Alhamdulillahi Rabiil 'Aalameen, al-lazii khalaqas-samaawaati wa-al-ardha wa maa fiihaa. Wa qad fash-shalna al-aayaati liqaumiy yatafakkaruun.

Blogspot ini, Insya-Allah akan diisikan dengan info-info berguna yang diambil dari pelbagai sumber termasuk sumber utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Semoga ianya bermanafaat.