Sabtu, 13 Jun 2020

Peluang saksi gerhana matahari



Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam akan berpeluang untuk menyaksikan peristiwa astronomi yang jarang berlaku iaitu gerhana matahari, pada petang 21 Jun nanti di mana ia akan dijangka bermula pada pukul 3:10 petang dan berakhir pada pukul 5:23 petang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD), di sini, hari ini, gerhana matahari berlaku apabila bulan berada sejajar antara matahari dan bumi di mana semasa gerhana separa, cakera bulan tidak akan meliputi matahari sepenuhnya.
Kenyataan menjelaskan bahawa fenomena gerhana matahari separa akan berlangsung selama 2 jam 13 minit di mana sepanjang peristiwa itu, bulan akan menutupi sebahagian kecil matahari dan ketika puncak gerhana, iaitu pada pukul 4:22 petang, hampir 28 peratus matahari akan ditutupi oleh bulan.
Sehubungan dengan itu, PABD menasihatkan orang ramai yang ingin melihat fenomena berkenaan supaya tidak melihat matahari secara terus di mana terdapat beberapa kaedah yang selamat untuk melihat matahari antaranya dengan menggunakan kaca mata kimpalan (welding glass) nombor 14, penapis suria dan projeksi dengan teleskop.
Pada masa yang sama, bersempena kejadian gerhana itu, PABD dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) akan menganjurkan perbincangan atas talian menerusi Facebook Live secara langsung bertajuk Bincang Santai Astronomi: Fenomena Gerhana Matahari.
Perjalanan bulan menutupi sebahagian matahari ketika gerhana pada 21 Jun nanti di Negara Brunei Darussalam. – Gambar serahan PABD

Program astronomi umum itu akan memberikan peluang kepada orang ramai dan warganet berinteraksi bersama pakar-pakar falak dan astronomi mengenai kejadian gerhana matahari di mana perbincangan itu akan disiarkan bermula pukul 8:30 malam pada 19 Jun.
Manakala itu, sesi cerapan gerhana matahari akan dibawakan secara langsung dalam talian pada 21 Jun nanti dari beberapa lokasi terpilih di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam oleh PABD.
Penganjuran program itu juga merupakan kolaborasi projek MY-East Asia Universe Awareness Solar Eclipse (MY-EAUNIVASE) di bawah jaringan kerjasama International Astronomical Union (IAU) National Outreach Coordinator yang melibatkan sembilan buah negara di Asia Timur.
Orang ramai boleh mengikuti penstriman cerapan fenomena berkenaan bermula pukul 2:45 petang sehingga 5:30 petang di mana cerapan itu bergantung kepada keadaan cuaca.

Semua aktiviti tersebut boleh diikuti dengan melayari laman Facebook PABD.

Di samping itu, PABD juga menyatakan bahawa fenomena gerhana matahari yang akan datang, yang akan berlaku lagi di negara ini adalah pada 20 April 2023.

Jumaat, 8 Mei 2020

Last supermoon of the year

Hakim Hayat
The moon was observed extra bright in Brunei’s clear skies last night in what was dubbed the last supermoon phenomenon this year.
The May 7 supermoon was a perigee full moon (closest distance between the Moon and Earth).
After this, stargazers will need to wait until April 2021 to see another supermoon.

PHOTO: DK
BORNEO BULLETIN ONLINE.

Jumaat, 24 April 2020

Brunei mula berpuasa esok

April 24, 2020



BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah,  Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka yang dipertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 1 Ramadan 1441 Hijrah akan jatuh pada hari Sabtu bersamaan dengan 25 April 2020 Masihi.


- Media Permata Online.

Selasa, 6 Ogos 2019

Brunei Berpeluang Menamakan Planet, Bintang

SIARAN AKHBAR

Bandar Seri Begawan

Kesatuan Astronomi Antarabangsa (International Astronomical Union - IAU) menganugerahkan Negara Brunei Darussalam sebuah planet dan sebutir bintang induknya pada 2 Ogos 2019 untuk diberikan nama yang sesuai oleh rakyat negara ini.

Pihak IAU memperuntukkan sebuah planet dan bintangnya kepada setiap negara di dunia untuk dinamakan.

Brunei Darussalam turut diberikan sebutir bintang HD 179949 dan sebuah planet gergasi bergas (exoplanet HD 179949b) yang terletak dalam buruj Sagittarius untuk dinamakan.

Exoplanet adalah planet yang mengelilingi bintang lain di luar sistem suria. Setakat ini, sebanyak 4,000 exoplanet berjaya ditemui dan kebanyakannya belum diberikan nama yang sesuai.

Buat julung kalinya, Program Name Exoworld Brunei Darussalam telah dilancarkan pada 4 Ogos 2019 oleh Yang Di-Pertua Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD), Awang Haji Mahadi bin Haji Md. Tahir semasa Pengumuman Khas persatuan berkenaan yang disiarkan langsung di dalam talian (online) melalui laman Facebook persatuan berkenaan.

Kempen peringkat kebangsaan itu dianjurkan oleh Persatuan PABD selaku IAU National Outreach Coordinator dengan sokongan pihak-pihak tertentu untuk memberikan peluang kepada rakyat juga penduduk negara ini untuk menamakan bintang dan planet tersebut bermula Ogos ini.

Yang Di-Pertua PABD, Awang Haji Mahadi dalam ucapan pelancaran program tersebut berkata program global itu akan memberikan peluang orang Brunei untuk menamakan bintang dan planet tersebut, yang mana cadangan nama yang terpilih nanti akan diabadikan untuk generasi di negara ini yang akan datang.

Program Menamakan Bintang dan Exoplanet (Name Exoworlds) merupakan inisiatif global sempena Sambutan 100 Tahun Kesatuan IAU.

Syarat-syarat bagi mencadangkan nama bintang dan planet tersebut berserta maklumat program NameExoWorlds boleh dicapai dengan melayari laman sesawang 'www.bruneiastronomy.org/NameExoWorlds'.

Penyertaan bagi program itu adalah dibukakan kepada orang ramai di negara ini, akan bermula pada 10 Ogos hingga 10 Oktober 2019.

Cadangan-cadangan nama planet dan bintangnya akan dipilih secara undian secara dalam talian oleh orang ramai.

Nama yang mempunyai undian tertinggi oleh negara ini akan dimaklumkan terus kepada pihak IAU untuk penelitian terhadap cadangan tersebut, di mana keputusan nama planet dan bintang tersebut akan dimaklumkan secara rasmi daripada IAU pada Disember tahun ini.

Sumber: www.brudirect.com 

Khamis, 18 Julai 2019

Solat sunat gerhana bulan


Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Fenomena gerhana bulan separa telah sabit berlaku di Negara Brunei Darussalam bermula jam 4:01 pagi hingga 6:19 pagi hari ini.
Sehubungan itu, seluruh masjid, surau dan balai ibadat di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan sembahyang sunat gerhana bulan dengan tumpuan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Sembahyang sunat gerhana bulan ditunaikan sebaik-baik sahaja selesai menunaikan sembahyang fardu Subuh berjemaah.
Turut hadir pada acara di Masjid Omar Ali Saifuddien ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; para pengarah, pegawai kanan dan kakitangan dari KHEU serta penduduk yang tinggal di sekitarnya.
Sembahyang sunat gerhana bulan berjemaah di masjid berkenaan telah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Manakala itu, menjadi khatib pula ialah Penguasa Masjid Omar Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat dan ma’asir ialah Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.
Gerhana merupakan suatu kejadian memperlihatkan keagungan dan kebesaran Allah SWT yang berlaku pada matahari dan bulan sebagai tanda atau bukti kekuasaanNya sepertimana terjadinya siang dan malam.
Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam supaya melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar apabila berlakunya gerhana.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir bersama-sama mendirikan sembahyang sunat gerhana bulan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Media Permata Online - 18 Julai 2019

Isnin, 27 Mei 2019

Penglihatan anak bulan Syawal 4 Jun

Siaran Akhbar : Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Negara


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Mei. - Sebanyak lima lokasi dipilih bagi penglihatan anak bulan Syawal Tahun 1440 Hijrah seluruh negara pada petang, Selasa, 29 Ramadan 1440 Hijrah bersamaan 4 Jun depan.

Menurut Siaran Akhbar Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Hakim-hakim Syar'ie dan pegawai-pegawai Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, JPM akan berada di tempat-tempat yang ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Syawal 1440 Hijrah) di Menara DST, Bangunan DST Headquarters, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara (DBM); Bukit Agok, Jerudong, DBM; Tanjung Batu, Kampung Sabun, DBM; Bukit Lumut, Daerah Belait; dan di Bukit Amboq, Daerah Tutong.

Berikutan itu, pengumuman satu Syawal (awal Syawal bagi Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi) akan disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) sebaik-baik sahaja rukyah pada petang tersebut diperoleh melalui pihak berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai adalah diminta memberikan kerjasama supaya tidak mendekati tempat-tempat tersebut.

Pelita Brunei Online.