Khamis, 18 Julai 2019

Solat sunat gerhana bulan


Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Fenomena gerhana bulan separa telah sabit berlaku di Negara Brunei Darussalam bermula jam 4:01 pagi hingga 6:19 pagi hari ini.
Sehubungan itu, seluruh masjid, surau dan balai ibadat di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan sembahyang sunat gerhana bulan dengan tumpuan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Sembahyang sunat gerhana bulan ditunaikan sebaik-baik sahaja selesai menunaikan sembahyang fardu Subuh berjemaah.
Turut hadir pada acara di Masjid Omar Ali Saifuddien ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; para pengarah, pegawai kanan dan kakitangan dari KHEU serta penduduk yang tinggal di sekitarnya.
Sembahyang sunat gerhana bulan berjemaah di masjid berkenaan telah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Manakala itu, menjadi khatib pula ialah Penguasa Masjid Omar Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat dan ma’asir ialah Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.
Gerhana merupakan suatu kejadian memperlihatkan keagungan dan kebesaran Allah SWT yang berlaku pada matahari dan bulan sebagai tanda atau bukti kekuasaanNya sepertimana terjadinya siang dan malam.
Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam supaya melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar apabila berlakunya gerhana.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir bersama-sama mendirikan sembahyang sunat gerhana bulan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Media Permata Online - 18 Julai 2019

Isnin, 27 Mei 2019

Penglihatan anak bulan Syawal 4 Jun

Siaran Akhbar : Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Negara


BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Mei. - Sebanyak lima lokasi dipilih bagi penglihatan anak bulan Syawal Tahun 1440 Hijrah seluruh negara pada petang, Selasa, 29 Ramadan 1440 Hijrah bersamaan 4 Jun depan.

Menurut Siaran Akhbar Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Hakim-hakim Syar'ie dan pegawai-pegawai Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, JPM akan berada di tempat-tempat yang ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Syawal 1440 Hijrah) di Menara DST, Bangunan DST Headquarters, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara (DBM); Bukit Agok, Jerudong, DBM; Tanjung Batu, Kampung Sabun, DBM; Bukit Lumut, Daerah Belait; dan di Bukit Amboq, Daerah Tutong.

Berikutan itu, pengumuman satu Syawal (awal Syawal bagi Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi) akan disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) sebaik-baik sahaja rukyah pada petang tersebut diperoleh melalui pihak berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai adalah diminta memberikan kerjasama supaya tidak mendekati tempat-tempat tersebut.

Pelita Brunei Online.

Selasa, 7 Mei 2019

Rukyah Hilal Ramadhan 1440H

Berikut adalah grafik kedudukan hilal Ramadhan 1440H secara global dan grafik pencerapan di bangunan Menara DST di Jalan Tungku.

(Klik pada gambar untuk memperbesar)


Grafik ehsan dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan

Memandangkan hilal Ramadhan bagi tahun 1440H telah TIDAK SABIT dilihat maka bulan Sya'baan 1440H telah digenapkan menjadi 30 hari manakala umat Islam di Negara Brunei Darussalam ini akan mula berpuasa pada Hari Selasa 07 Mei 2019M. Untuk itu pihak Astronomi Islam Brunei mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa Ramadhan 1440H.