(Kredit pada Madrasatul Jadid Al Arabie Al Islamie & Islamic Arabic School)
Isnin, 8 April 2019
Selasa, 19 Februari 2019
Sabtu, 15 Disember 2018
Ketika bulan ‘tersenyum’ di langit Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis 2008 – Ketika dunia dihimpit kemelut ekonomi dan negara-negara serantau dibayangi suasana politik tidak menentu, tiba-tiba bulan ‘tersenyum’ di langit Brunei Darussalam.
Keindahan waktu malam itu jarang kelihatan apabila bulan sabit terbentuk seolah-olah mulut manusia tersenyum, apatah lagi dua bintang terang berada di atas bulan yang seolah-olah membentuk sepasang mata.
Wartawan Media Permata sempat merakamkan wajah bulan ‘tersenyum’ di langit, terutama mereka yang melihatnya di Bandar Seri Begawan.
Rupa-rupanya fenomena ini bukan saja berlaku di Brunei kerana ia turut dicatatkan berlaku di Australia. Menurut laporan akhbar Herald, kejadian berlaku seawal pukul 8 malam waktu negara ini hingga 11 malam apabila planet Zuhrah (Venus) dan Musytari (Jupiter) menampakkan wajah yang terang seolah-olah sepasang mata bersinar.
Tepat di bawah di antara sepasang mata itu ialah bulan sabit ‘tersenyum’.
- Media Permata Online. 15 Disember 2018.
Khamis, 26 Julai 2018
Gerhana bulan penuh esok
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Sekiranya langit cerah malam hari Jumaat (27 Julai), Brunei berpeluang untuk menyaksikan dua fenomena astronomi yang amat jarang berlaku iaitu kedudukan selari dua buah planet dan gerhana bulan penuh.
Pada 27 Julai sekitar jam 10 malam, planet Marikh akan berada dalam kedudukan bertentangan dengan matahari dan berada pada jarak paling dekat dengan Bumi, kira-kira 56 juta kilometer.
Marikh akan dilihat 10 kali lebih cerah daripada biasa pada magnitud -2.8 malam itu dan fenomena ini hanya dapat dilihat lagi pada 15 September 2035.
Pengkaji bintang akan dapat melihat planet merah itu muncul sebagai ‘bintang’ paling terang di langit Timur sekitar jam 8 malam dari Brunei.
Fenomena pertama kosmik pada malam itu nanti adalah gerhana bulan penuh atau dikenali sebagai Bulan Darah pada awal hari Sabtu dan pada masa itu Bumi akan bergerak di antara matahari dan bulan.


Ia akan bermula apabila bulan purnama memasuki bayangan Bumi (Penumbra) pada jam 1:14 pagi (28 Julai) dan lebih kurang sejam kemudian, fasa separa akan bermula pada jam 2:24 pagi apabila bulan mula gelap diselubungi bayang-bayang Bumi yang dipanggil Umbra.
Bulan benar-benar merah selama 1 jam 43 minit untuk fasa keseluruhan dari jam 3:30 pagi untuk gerhana paling lama abad ke-21.
Gerhana bulan paling lama berlaku pada 16 Julai 2000 selama 1 jam 46 minit dan satu lagi pada 15 Jun 2011 dengan gerhana keseluruhan selama 1 jam 40 minit.
Rata-rata jumlah keseluruhan gerhana bulan berlangsung sekitar sejam hingga 1 jam 30 minit. Gerhana bulan selama itu yang seterusnya akan berlaku pada 2123.
Kejadian ini akan menjadi malam luar biasa kerana planet Marikh bersinar terang dan mudah dilihat dengan mata kasar. Keseluruhan gerhana boleh dilihat dari Brunei sehingga jam 6:23 pagi.
Pencerapan fenomena ini akan dilakukan di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan dari jam 7 malam (27 Julai) hingga 5:30 pagi (28 Julai). Teleskop akan didirikan untuk orang ramai dan bual bicara astronomi pula akan dijalankan secara percuma.
Orang ramai dijemput untuk membawa teropong atau teleskop untuk menyaksikan gerhana bulan dalam acara anjuran Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan; Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam. Gerhana bulan seterusnya akan dilihat di Brunei pada 17 Julai tahun depan tetapi itu hanya sebahagian sahaja. Pada 26 Disember tahun depan, Brunei akan mengalami gerhana matahari separuh apabila bulan bergerak di hadapan matahari.
- Media Permata Online.
Fenomena Gerhana Bulan Penuh, 27 - 28 Julai
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Julai. - Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan bersama Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) akan membuat kerja-kerja pencerapan Gerhana Bulan Penuh dan Cerapan Astronomi (Jupiter, Saturn dan Mars) bertempat di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan bermula pada jam 7.00 malam pada 27 Julai 2018 hingga 5.30 pagi pada 28 Julai 2018.
Fenomena Gerhana Bulan Penuh merupakan satu fenomena alam yang terjadi, di mana kedudukan Matahari, Bumi dan Bulan berada pada satu garis lurus. Fenomena itu berlaku apabila cahaya matahari tidak sampai ke bulan kerana terhalang oleh bumi.
Pada tahun ini, fenomena Gerhana Bulan Penuh sekali lagi akan berlaku bermula pada jam 1.14 pagi pada 28 Julai 2018.
Manakala kemuncak Gerhana Bulan Penuh akan berlaku pada jam 4.21 pagi, yang mana bulan akan ditutupi oleh bayangan bumi sepenuhnya dan akan berakhir pada 7.28 pagi.
Fenomena Gerhana Bulan Penuh telah berlaku pada awal tahun ini, iaitu pada 31 Januari lalu.
Pelita Brunei Online - 26 Julai 2018
Langgan:
Catatan (Atom)





