Rabu, 22 Julai 2020

Hari Raya Aidiladha disambut 1 Ogos

July 22, 2020

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KHEU

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah 1441 Hijrah bersamaan 1 Ogos 2020.

Ketetapan itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama merangkap Yang Dipertua Majlis Ugama Islam (MUIB), Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman setelah bersidang mengenai hasil merukyah anak bulan Zulhijjah 1441 Hijrah yang jatuhnya pada 23 Julai tahun ini, dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan telah disembahkan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Persidangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail dan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syar’iah, Haji Bahrin bin Haji Alias.

Pengumuman hasil merukyah awal bulan Zulhijjah 1441 Hijrah pada petang tadi disiarkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri.

Pada tahun ini, lima lokasi ditetapkan bagi merukyah anak bulan Zulhijjah iaitu MenaraDST, Bangunan Ibu Pejabat DST, Lebuh raya Tungku, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Tanjung Batu, Pekan Muara, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait dan Bukit Amboq, Daerah Tutong.

Sehubungan itu, umat Islam akan menunaikan sembahyang Hari Raya Aidiladha pada 1 Ogos serta bertakbir dan melakukan ibadah korban sehingga hari-hari tasyrik berikutnya.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika mempengerusikan sidang rukyah anak bulan Zulhijjah 1441 Hijrah di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, kelmarin.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika mempengerusikan persidangan merukyah anak bulan Zulhijjah 1441 Hijrah, kelmarin.

Media Permata Online