Siaran Akhbar : Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Negara
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Mei. - Sebanyak lima lokasi dipilih bagi penglihatan anak bulan Syawal Tahun 1440 Hijrah seluruh negara pada petang, Selasa, 29 Ramadan 1440 Hijrah bersamaan 4 Jun depan.
Menurut Siaran Akhbar Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Hakim-hakim Syar'ie dan pegawai-pegawai Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, JPM akan berada di tempat-tempat yang ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Syawal 1440 Hijrah) di Menara DST, Bangunan DST Headquarters, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara (DBM); Bukit Agok, Jerudong, DBM; Tanjung Batu, Kampung Sabun, DBM; Bukit Lumut, Daerah Belait; dan di Bukit Amboq, Daerah Tutong.
Berikutan itu, pengumuman satu Syawal (awal Syawal bagi Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi) akan disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) sebaik-baik sahaja rukyah pada petang tersebut diperoleh melalui pihak berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai adalah diminta memberikan kerjasama supaya tidak mendekati tempat-tempat tersebut.
Pelita Brunei Online.