BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Sekiranya langit cerah malam hari Jumaat (27 Julai), Brunei berpeluang untuk menyaksikan dua fenomena astronomi yang amat jarang berlaku iaitu kedudukan selari dua buah planet dan gerhana bulan penuh.
Pada 27 Julai sekitar jam 10 malam, planet Marikh akan berada dalam kedudukan bertentangan dengan matahari dan berada pada jarak paling dekat dengan Bumi, kira-kira 56 juta kilometer.
Marikh akan dilihat 10 kali lebih cerah daripada biasa pada magnitud -2.8 malam itu dan fenomena ini hanya dapat dilihat lagi pada 15 September 2035.
Pengkaji bintang akan dapat melihat planet merah itu muncul sebagai ‘bintang’ paling terang di langit Timur sekitar jam 8 malam dari Brunei.
Fenomena pertama kosmik pada malam itu nanti adalah gerhana bulan penuh atau dikenali sebagai Bulan Darah pada awal hari Sabtu dan pada masa itu Bumi akan bergerak di antara matahari dan bulan.
Ia akan bermula apabila bulan purnama memasuki bayangan Bumi (Penumbra) pada jam 1:14 pagi (28 Julai) dan lebih kurang sejam kemudian, fasa separa akan bermula pada jam 2:24 pagi apabila bulan mula gelap diselubungi bayang-bayang Bumi yang dipanggil Umbra.
Bulan benar-benar merah selama 1 jam 43 minit untuk fasa keseluruhan dari jam 3:30 pagi untuk gerhana paling lama abad ke-21.
Gerhana bulan paling lama berlaku pada 16 Julai 2000 selama 1 jam 46 minit dan satu lagi pada 15 Jun 2011 dengan gerhana keseluruhan selama 1 jam 40 minit.
Rata-rata jumlah keseluruhan gerhana bulan berlangsung sekitar sejam hingga 1 jam 30 minit. Gerhana bulan selama itu yang seterusnya akan berlaku pada 2123.
Kejadian ini akan menjadi malam luar biasa kerana planet Marikh bersinar terang dan mudah dilihat dengan mata kasar. Keseluruhan gerhana boleh dilihat dari Brunei sehingga jam 6:23 pagi.
Pencerapan fenomena ini akan dilakukan di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan dari jam 7 malam (27 Julai) hingga 5:30 pagi (28 Julai). Teleskop akan didirikan untuk orang ramai dan bual bicara astronomi pula akan dijalankan secara percuma.
Orang ramai dijemput untuk membawa teropong atau teleskop untuk menyaksikan gerhana bulan dalam acara anjuran Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan; Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam. Gerhana bulan seterusnya akan dilihat di Brunei pada 17 Julai tahun depan tetapi itu hanya sebahagian sahaja. Pada 26 Disember tahun depan, Brunei akan mengalami gerhana matahari separuh apabila bulan bergerak di hadapan matahari.
- Media Permata Online.