Rabu, 16 Mei 2018

Hasil Rukyah Hilal Ramadhan 1439 Hijriah

Dimaklumkan bahawa hasil rukyah Hilal Ramadhan 1439 Hijriah adalah tidak berhasil dilihat. Maka awal Ramadhan 1439H jatuh kepada Hari Khamis, 01 Ramadhan 1439H bersamaan dengan 17 Mei 2018 bagi Negara Brunei Darussalam. Selamat menunaikan ibadat puasa.


Keterangan hilal Ramadhan 1439H (Kredit: Brunei Astronomy)


Selasa, 15 Mei 2018

Info Hilal Ramadhan 1439 Hijri / 2018 Miladi


Setelah mendapatkan beberapa maklumat serta berkongsi pendapat daripada negara-negara jiran, Malaysia, Singapura dan Indonesia, hilal Ramadhan adalah di bawah ufuk ketika ghurufnya terbenam matahari waktu Maghrib petang Selasa 15 Mei 2018 hari ini. Oleh yang demikian, hilal tidak wujud. Perkara ini adalah merujuk kepada kriteria Imkanurrukyah 1991, (iaitu) tidak memenuhi syarat untuk mensabitkannya. Maka bulan Sya'ban akan diistikmalkan kepada 30 hari.

Insya Allah, rantau negara-negara Brunei, Malaysia, Singapura dan Indonesia akan memulakan puasa pada 17 Mei 2018, hari Khamis jika mengikut dasar dan syarat kriteria tersebut. Walaubagaimanapun (ini adalah) tertakluk kepada pengamalan negara masing-masing (untuk) menentukan.

Bersama ini juga disertakan gambar "Bulan Sabit Tua" (pada) 28 Sya'ban 1439, (yang) berlaku pada pagi tadi yang telahpun dicerap di salah sebuah balai cerap di Malaysia, menandakan Bulan Sya'ban sudah di penghujungnya sekitar jam 1:43 pagi bagi rujukan pergerakan perhitungan data matahari dan bulan.

Sekian disampaikan sedikit informasi perbincangan kami di antara negara-negara rantau MABIMS. Terima kasih.

Wallahu a'lam

Wassalaam.

Dengan Hormatnya,
Ustaz Muhammad Zulhilmi Mohd. Jefri,
Brunei Darussalam.
15.05.2018 - Selasa.


Gambar Bulan Sabit Tua pada sekitar jam 1:43 pagi pada 28 Sya'ban 1439H


Selasa, 8 Mei 2018

Rukyah anak bulan Ramadan 15 Mei


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Mei. - Sebanyak lima lokasi telah dipilih bagi penglihatan anak bulan Ramadan Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi seluruh negara pada petang Selasa, 29 Syaaban 1439 bersamaan 15 Mei 2018.

Hakim-Hakim Syar'ie dan pegawai-pegawai Mahkamah-Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, JPM akan berada di lima lokasi yang telah ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Ramadan 1439 Hijrah).

Lokasi tersebut ialah Menara DST, Bangunan DST Headquarters, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara;  Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Tanjung Batu, Pekan Muara, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait dan Bukit Amboq, Daerah Tutong.

Sehubungan dengan itu, pengumuman satu Ramadan (awal puasa Ramadan bagi Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi) akan disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) sebaik-baik sahaja rukyah pada petang Selasa, 29 Syaaban 1439H bersamaan 15 Mei 2018M itu diperolehi melalui pemakluman yang dilakukan melalui siaran RTB.

Orang ramai adalah diminta memberikan kerjasama supaya tidak mendekati tempat-tempat tersebut.


Siaran Akhbar : Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Negara