Sabtu, 15 Disember 2018

Ketika bulan ‘tersenyum’ di langit Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis 2008 – Ketika dunia dihimpit kemelut ekonomi dan negara-negara serantau dibayangi suasana politik tidak menentu, tiba-tiba bulan ‘tersenyum’ di langit Brunei Darussalam.
Keindahan waktu malam itu jarang kelihatan apabila bulan sabit terbentuk seolah-olah mulut manusia tersenyum, apatah lagi dua bintang terang berada di atas bulan yang seolah-olah membentuk sepasang mata.
Wartawan Media Permata sempat merakamkan wajah bulan ‘tersenyum’ di langit, terutama mereka yang melihatnya di Bandar Seri Begawan.
Rupa-rupanya fenomena ini bukan saja berlaku di Brunei kerana ia turut dicatatkan berlaku di Australia. Menurut laporan akhbar Herald, kejadian berlaku seawal pukul 8 malam waktu negara ini hingga 11 malam apabila planet Zuhrah (Venus) dan Musytari (Jupiter) menampakkan wajah yang terang seolah-olah sepasang mata bersinar.
Tepat di bawah di antara sepasang mata itu ialah bulan sabit ‘tersenyum’.

- Media Permata Online. 15 Disember 2018.

Khamis, 26 Julai 2018

Gerhana bulan penuh esok


BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Sekiranya langit cerah malam hari Jumaat (27 Julai), Brunei berpeluang untuk menyaksikan dua fenomena astronomi yang amat jarang berlaku iaitu kedudukan selari dua buah planet dan gerhana bulan penuh.
Pada 27 Julai sekitar jam 10 malam, planet Marikh akan berada dalam kedudukan bertentangan dengan matahari dan berada pada jarak paling dekat dengan Bumi, kira-kira 56 juta kilometer.
Marikh akan dilihat 10 kali lebih cerah daripada biasa pada magnitud -2.8 malam itu dan fenomena ini hanya dapat dilihat lagi pada 15 September 2035.
Pengkaji bintang akan dapat melihat planet merah itu muncul sebagai ‘bintang’ paling terang di langit Timur sekitar jam 8 malam dari Brunei.
Fenomena pertama kosmik pada malam itu nanti adalah gerhana bulan penuh atau dikenali sebagai Bulan Darah pada awal hari Sabtu dan pada masa itu Bumi akan bergerak di antara matahari dan bulan.

Fenomena Bulan Darah dan kedudukan planet Marikh paling dekat dengan Bumi pada 28 Julai ini.
Laluan bulan memasuki bayangan Bumi semasa gerhana bulan penuh yang dapat disaksikan dari Negara Brunei Darussalam pada 28 Julai.

Ia akan bermula apabila bulan purnama memasuki bayangan Bumi (Penumbra) pada jam 1:14 pagi (28 Julai) dan lebih kurang sejam kemudian, fasa separa akan bermula pada jam 2:24 pagi apabila bulan mula gelap diselubungi bayang-bayang Bumi yang dipanggil Umbra.
Bulan benar-benar merah selama 1 jam 43 minit untuk fasa keseluruhan dari jam 3:30 pagi untuk gerhana paling lama abad ke-21.
Gerhana bulan paling lama berlaku pada 16 Julai 2000 selama 1 jam 46 minit dan satu lagi pada 15 Jun 2011 dengan gerhana keseluruhan selama 1 jam 40 minit.
Rata-rata jumlah keseluruhan gerhana bulan berlangsung sekitar sejam hingga 1 jam 30 minit. Gerhana bulan selama itu yang seterusnya akan berlaku pada 2123.
Kejadian ini akan menjadi malam luar biasa kerana planet Marikh bersinar terang dan mudah dilihat dengan mata kasar. Keseluruhan gerhana boleh dilihat dari Brunei sehingga jam 6:23 pagi.
Pencerapan fenomena ini akan dilakukan di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan dari jam 7 malam (27 Julai) hingga 5:30 pagi (28 Julai). Teleskop akan didirikan untuk orang ramai dan bual bicara astronomi pula akan dijalankan secara percuma.
Orang ramai dijemput untuk membawa teropong atau teleskop untuk menyaksikan gerhana bulan dalam acara anjuran Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan; Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam. Gerhana bulan seterusnya akan dilihat di Brunei pada 17 Julai tahun depan tetapi itu hanya sebahagian sahaja. Pada 26 Disember tahun depan, Brunei akan mengalami gerhana matahari separuh apabila bulan bergerak di hadapan matahari.

- Media Permata Online.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh, 27 - 28 Julai

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Julai. - Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan bersama Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) akan membuat kerja-kerja pencerapan Gerhana Bulan Penuh dan Cerapan Astronomi (Jupiter, Saturn dan Mars) bertempat di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan bermula pada jam 7.00 malam pada 27 Julai 2018 hingga 5.30 pagi pada 28 Julai 2018.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh merupakan satu fenomena alam yang terjadi, di mana kedudukan Matahari, Bumi dan Bulan berada pada satu garis lurus. Fenomena itu berlaku apabila cahaya matahari tidak sampai ke bulan kerana terhalang oleh bumi.

Pada tahun ini, fenomena Gerhana Bulan Penuh sekali lagi akan berlaku bermula pada jam 1.14 pagi pada 28 Julai 2018.

Manakala kemuncak Gerhana Bulan Penuh akan berlaku pada jam 4.21 pagi, yang mana bulan akan ditutupi oleh bayangan bumi sepenuhnya dan akan berakhir pada 7.28 pagi.

Fenomena Gerhana Bulan Penuh telah berlaku pada awal tahun ini, iaitu pada 31 Januari lalu.



Pelita Brunei Online - 26 Julai 2018

Khamis, 14 Jun 2018

Hasil Rukyah Hilal Syawal 1439H

Dimaklumkan bahawa anak bulan Syawal 1439H telah berhasil dilihat. Maka awal Syawal 1439H jatuh pada Hari Jumaat, 01 Syawal 1439H bersamaan 15 Jun 2018 bagi Negara Brunei Darussalam. Pihak Astronomi Islam Brunei mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1439H dan Maaf Zahir dan Batin.


(Kredit Foto: Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan)


Rabu, 16 Mei 2018

Hasil Rukyah Hilal Ramadhan 1439 Hijriah

Dimaklumkan bahawa hasil rukyah Hilal Ramadhan 1439 Hijriah adalah tidak berhasil dilihat. Maka awal Ramadhan 1439H jatuh kepada Hari Khamis, 01 Ramadhan 1439H bersamaan dengan 17 Mei 2018 bagi Negara Brunei Darussalam. Selamat menunaikan ibadat puasa.


Keterangan hilal Ramadhan 1439H (Kredit: Brunei Astronomy)


Selasa, 15 Mei 2018

Info Hilal Ramadhan 1439 Hijri / 2018 Miladi


Setelah mendapatkan beberapa maklumat serta berkongsi pendapat daripada negara-negara jiran, Malaysia, Singapura dan Indonesia, hilal Ramadhan adalah di bawah ufuk ketika ghurufnya terbenam matahari waktu Maghrib petang Selasa 15 Mei 2018 hari ini. Oleh yang demikian, hilal tidak wujud. Perkara ini adalah merujuk kepada kriteria Imkanurrukyah 1991, (iaitu) tidak memenuhi syarat untuk mensabitkannya. Maka bulan Sya'ban akan diistikmalkan kepada 30 hari.

Insya Allah, rantau negara-negara Brunei, Malaysia, Singapura dan Indonesia akan memulakan puasa pada 17 Mei 2018, hari Khamis jika mengikut dasar dan syarat kriteria tersebut. Walaubagaimanapun (ini adalah) tertakluk kepada pengamalan negara masing-masing (untuk) menentukan.

Bersama ini juga disertakan gambar "Bulan Sabit Tua" (pada) 28 Sya'ban 1439, (yang) berlaku pada pagi tadi yang telahpun dicerap di salah sebuah balai cerap di Malaysia, menandakan Bulan Sya'ban sudah di penghujungnya sekitar jam 1:43 pagi bagi rujukan pergerakan perhitungan data matahari dan bulan.

Sekian disampaikan sedikit informasi perbincangan kami di antara negara-negara rantau MABIMS. Terima kasih.

Wallahu a'lam

Wassalaam.

Dengan Hormatnya,
Ustaz Muhammad Zulhilmi Mohd. Jefri,
Brunei Darussalam.
15.05.2018 - Selasa.


Gambar Bulan Sabit Tua pada sekitar jam 1:43 pagi pada 28 Sya'ban 1439H


Selasa, 8 Mei 2018

Rukyah anak bulan Ramadan 15 Mei


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Mei. - Sebanyak lima lokasi telah dipilih bagi penglihatan anak bulan Ramadan Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi seluruh negara pada petang Selasa, 29 Syaaban 1439 bersamaan 15 Mei 2018.

Hakim-Hakim Syar'ie dan pegawai-pegawai Mahkamah-Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, JPM akan berada di lima lokasi yang telah ditetapkan untuk merukyah (melihat anak bulan Ramadan 1439 Hijrah).

Lokasi tersebut ialah Menara DST, Bangunan DST Headquarters, Lebuhraya Tungku, Daerah Brunei dan Muara;  Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Tanjung Batu, Pekan Muara, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Lumut, Daerah Belait dan Bukit Amboq, Daerah Tutong.

Sehubungan dengan itu, pengumuman satu Ramadan (awal puasa Ramadan bagi Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi) akan disiarkan melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) sebaik-baik sahaja rukyah pada petang Selasa, 29 Syaaban 1439H bersamaan 15 Mei 2018M itu diperolehi melalui pemakluman yang dilakukan melalui siaran RTB.

Orang ramai adalah diminta memberikan kerjasama supaya tidak mendekati tempat-tempat tersebut.


Siaran Akhbar : Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Negara


Isnin, 29 Januari 2018

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 31.01.2018

Berikutan dengan fenomena gerhana bulan penuh, Jabatan Ukur, Kementerian Perhubungan sukacita mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk mencerap keadaan bulan yang akan mengalami gerhana penuh.

Hari : Rabu
Tarikh : 15 Jamadilawal 1439H / 31 Januari 2018M
Tempat : Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait
Mulai Jam : 6:30 petang