Oleh: 
                                                      Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali 
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 5 Jun. -
 Umat Islam di negara ini akan memulakan ibadah puasa Ramadan pada hari 
Selasa, 7 Jun ini nanti berikutan hasil merukyah anak bulan Ramadan 
tidak sabit kelihatan di beberapa tempat yang ditentukan lewat petang 
semalam.
Lokasi bagi merukyah anak bulan Ramadan 
yang telah ditentukan pada tahun ini ialah Menara DST, Bangunan DST 
Headquarters, Lebuhraya Tungku dan di Bukit Agok, Jerudong bagi Daerah 
Brunei dan Muara sementara Bukit Ambok di Daerah Tutong dan Bukit Lumut 
di Daerah Belait.
Sementara bagi menunggu hasil merukyah 
awal bulan Ramadan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan Majlis
 Keugamaan berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Baru, 
Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis di sini.
Hadir bagi menyerikan majlis tersebut 
ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato 
Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka 
Haji Othman.
Juga hadir ialah Mufti Kerajaan, Yang 
Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz 
Haji Awang Abdul Aziz; Ketua Hakim Syar'ie, Mahkamah Rayuan Syariah, 
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia
 Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Pendidikan, Yang 
Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan
 Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti 
bin Haji Mohd Daud; Pehin-Pehin Manteri Agama, jemputan-jemputan khas, 
Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal 
Ugama serta Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan.
Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat 
suci Al-Quran oleh penuntut-penuntut Sekolah Menengah Arab Laki-Laki 
Hassanal Bolkiah, Awang Mohammad Rohaidi bin Haji Johadi dan Awang Abdul
 Hafiz bin Haji Abdul Kadiroshman diikuti dengan Tahlil dan Doa Arwah 
serta bacaan Doa Selamat.
 
Majlis diteruskan dengan Sembahyang 
Fardu Maghrib Berjemaah yang telah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal 
Masjid di Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Hanafi bin Haji Zaini.
Hasil merukyah awal bulan Ramadan diumumkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei (RTB).
Berikutan anak bulan Ramadan tidak sabit
 kelihatan maka bulan Syaaban digenapkan menjadi 30 hari dan sehubungan 
itu juga solat Terawih dan Witir serta bertadarus Al-Quran juga mula 
bergema di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.
- Pelita Brunei Online. Hari Isnin, 30 Sya'baan 1437H / 06 Jun 2016M.